JAKARTA 28 Dis. – Gunung Berapi Anak Krakatau hari ini dilaporkan mengeluarkan asap hitam dan awan panas, mengikut laporan berdasarkan pemerhatian stesen peninjau di Pulau Sertung.
CNNIndonesia yang memetik Ketua Pos Peninjau Gunung Berapi Anak Krakatau, Windi Cahya Untung berkata, awan panas itu menghala ke Lautan Hindi ketika bunyi letupan mengiringi aktiviti gunung berapi.
“Asap bertekanan tinggi daripada kawah Anak Krakatau berwarna hitam dan tebal dengan mencapai ketinggian 600 meter dari puncak kawah,” kata Windi.
Buat masa ini, Anak Krakatau tidak kelihatan dari pos peninjau kerana dilitupi awan.
Windi menambah, cuaca di sekitar Anak Krakatau didapati berawan dan mendung ketika aktiviti gempa masih tidak berhenti. – AGENSI









