Baru baru ini saya berkesempatan berjumpa sahabat lama yang juga seorang penulis hebat. Banyak topik dibincangkan terutama yang melibatkan isu-isu politik semasa. Kami sama-sama mengakui bahawa kini platform media sosial semakin menguasai pemikiran hampir segenap golongan. Akhbar semakin kurang peranannya dan maklumat serta informasi yang pelbagai semakin meracuni pemikiran jika tidak ditangani.
Tidak dinafikan kini zaman orang muda kerana teknologi 10 tahun lalu belum tentu lagi sesuai. Malah Facebook turut dikatakan hanya digunakan orang tua kerana lebih banyak platform lain yang semakin digilai orang muda.
Pada hal Facebook itu sendiri dicipta orang yang relatifnya masih muda. Teknologi semakin berkembang luas tanpa noktah dan yang mahir menggunakannya adalah golongan muda. Sayangnya di negara ini mereka tidak diberi ruang seperti di Barat yang mana belum cecah umur 40 sudah pun menjadi perdana menteri atau presiden.
Sedang rancak berborak tiba-tiba sahabat saya menyentuh bagaimana orang muda kini semakin ramai menyertai Parti Sosialis Malaysia (PSM). Saya pada awalnya agak tergamam tetapi ujar beliau, mereka bukan sahaja aktif malah lantang bersuara dan memberi idea apa yang patut dilakukan untuk memastikan parti itu relevan dalam suasana politik Malaysia sekarang.
Bagi beliau yang agak berusia, suasana sedemikian agak pelik kerana selama ini beliau hanya melihat hanya orang berumur sahaja yang aktif dalam PSM. Apatah lagi ia sebuah gerakan lama dan ada yang melihat perjuangan sosialis sebagai ketinggalan.
Perkembangan terbaharu ini bukan sesuatu yang mengejutkan apatah lagi dengan keputusan pilihan raya umum lalu yang membungkam kerajaan memerintah lebih 60 tahun, turut sama memberi peluang untuk pelbagai ideologi, fahaman, dan pemikiran bercambah dan berkembang berbanding sebelumnya. Ini adalah sebahagian dari proses kematangan demokrasi dan semua orang mempunyai hak untuk bersuara dan memilih.
Apatah lagi apabila melibatkan orang muda yang kini semakin sedar wujud pelbagai ruang dan peluang di hadapan mata mereka. Orang muda sememangnya idealis dan berani. Itu memang cakna orang muda. Tetapi saya agak terkilan melihat bagaimana orang muda terutama dalam UMNO dilayan sebelum dan selepas pilihan raya.
Kita boleh lihat sendiri di mana diletakkan orang muda seolah-olah hanya “sekadar ada”. Malah ketua pemuda pun sudah berusia lebih 40 tahun. Bukan menidakkan keupayaan pemimpin gerakan muda dalam UMNO tetapi secara peribadi, seharusnya idealisme orang muda perlu sesuai dengan umur dan jawatan yang dipegang.
Dalam Kabinet sebelum ini paling muda adalah Khairy Jamaluddin yang sekitar penghujung 40-an ketika itu. Malah beliau sendiri berulang kali menyatakan supaya orang muda diberi peluang dalam politik serta semua bidang.
Dalam soal ini bukanlah hendak mengatakan orang muda tidak berminat dengan UMNO tetapi peluang dan ruang untuk mereka ketika UMNO masih dalam kerajaan agak terhad selain saingan terlalu kuat di dalam parti.
Akhirnya ramai memilih untuk tidak peduli dengan gerakan politik UMNO kerana mereka melihat ia gerakan lama yang dipenuhi orang berusia.
Tidak ada ruang bagi mereka menyumbang dan mempunyai jawatan dalam parti apatah lagi jika sekadar menjadi pak turut atau yes man.Namun kini UMNO bukan lagi parti memerintah. Takdir menentukan kedudukan siapa di atas dan siapa di bawah.
Namun ia bukan umpama kiamat bagi UMNO apatah lagi dengan bertukarnya nakhoda baharu kepada Datuk Seri Mohamad Hasan. Terima kasih Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas jasa dan sumbangan selama ini dan beliau akan diingati kerana berani berundur demi memastikan kelangsungan UMNO tidak berkubur.
Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat kini memegang amanah yang bukan kecil untuk memulihkan parti yang sekian lama berjuang demi orang Melayu dan semua kaum di negara ini.
Namun perlu diakui sejak berakhirnya pilihan raya hingga kini, orang ramai terutama golongan muda hanya memandang sebelah mata perihal parti itu seolah-olah tiada langsung jasa dan bakti. Lumrah bila tiada kuasa, dilihat umpama tin kosong disepak ke sana sini. Berbanding ketika berisi ditatang dan menjadi rebutan ramai.
Hakikatnya UMNO kini di bawah Tok Mat perlu lebih fokus dan berusaha lebih gigih menarik sokongan dan dokongan generasi muda. Memang diakui parti itu masih mendapat sokongan tetapi bentuk ruang dan bakat yang boleh disumbang untuk parti masih menjadi tanda tanya.
Orang muda terutama dalam UMNO perlu diberi ruang dan peluang seluas- luasnya demi memastikan parti itu kekal relevan. Mereka perlu mencontohi Tun Dr. Mahathir yang senantiasa memberi ruang untuk bakat bakat muda dalam parti semasa memimpin UMNO hinggalah kini dalam Bersatu.
Datuk Seri Khaled Nordin, Datuk Seri Khir Toyo dan Tan Sri Annuar Musa adalah beberapa nama yang diberi peluang menjawat jawatan dalam Kabinet mahupun negeri semasa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat dahulu. Dan kini beliau memberi peluang pula kepada orang yang jauh lebih muda seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Begitu juga trend di dalam parti politik lain di negara ini. Kita boleh lihat bagaimana Parti Keadilan Rakyat menyantuni golongan muda apabila ramai dalam kalangan mereka diberi peluang memegang pelbagai jawatan dalam parti sejak awal penubuhannya hingga kini.
Kita boleh lihat bagaimana sosok seperti Azmin Ali, Tian Chua dan Nurul Izzah menyemarakkan gerakan orang muda hingga berjaya menarik mereka untuk turut sama aktif dalam politik. Mereka ini membuktikan orang muda bukan sekadar tukang tampal poster tetapi bersama dalam pelbagai gerak kerja demi memastikan kejayaan parti.
Kini kebanyakan orang muda yang mengikut mereka ini, walaupun masih muda sudah menjawat jawatan penting seperti Menteri Besar, Ahli Parlimen, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai lagi.
Kalau nak dibandingkan dengan DAP memang lagi tertinggal jauh. Mereka memang pakar dalam hal menyusun atur gerakan meletakkan orang muda.
Lihat sahaja barisan calon dan Ahli Parlimen, mereka meletak kepercayaan kepada orang muda, dan kini hasil “tuaiannya” semakin bercambah dan diterima ramai. Mereka meletakkan pelapis supaya para pengundi berasa yakin bahawa perjuangan dan prinsip parti akan kekal diperjuang walau pemimpin bertukar ganti.
Hakikatnya trend ini semakin meluas di seluruh dunia dan tidak dapat tidak ia tidak boleh dielakkan termasuklah di negara ini. Mungkin ada yang skeptikal termasuklah orang dalam UMNO sendiri.
Dan bukanlah penulis hendak menidakkan sumbangan dan ketokohan “otai-otai” yang telah lama berjuang dalam parti. Namun realiti perlu di hadam segera bagi memastikan parti itu kekal relevan terutama dalam kedudukan mereka sebagai pembangkang sekarang.
Tok Mat perlu mengangkat agenda menarik sokongan dan memartabat orang muda sebagai agenda utama parti yang beliau ambil alih kepimpinan lebih seminggu lalu. Memang ramai pemimpin muda dalam parti yang berkebolehan dan boleh diberi peluang.
Kita mahu lebih ramai pemimpin seperti Khairy Jamaluddin dan Asyraf Wajdi lahir dalam UMNO. Apatah lagi mereka ini pun semakin dicemburui usia, maka perlu dilahirkan pelapis yang mampu menjadi lebih garang dan bijak seiring usia muda.
Bagi Tok Mat mungkin peri bahasa minang ini boleh dijadikan sandaran. “Gadang jangan malendo, panjang jangan malindih, yang membawa maksud kalau menjadi orang yang memegang kuasa, jangan berbuat sesuka hati”.
Buatlah yang terbaik untuk orang muda dan jangan sesekali dinafikan hak dan kehendak mereka asalkan ia tidak merosakkan selain memberi manfaat demi parti.










