KOTA BHARU 27 Dis. – Seorang bomoh perempuan dan teman lelakinya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memukul seorang wanita dengan buluh dan kayu hingga parah dalam satu ritual pelik di Machang kira-kira dua minggu lalu.
Difahamkan, semasa kejadian terdapat saksi melihat bomoh yang berasal dari Sri Aman, Sarawak itu menari-nari di hadapan rumah mangsa sebelum dia dipukul dengan kayu dan buluh.
Tertuduh, Siti Nurul Iman Abdullah, 29, dan Mohd. Haziq Ab. Hamid @ Fauzi, 27, yang juga seorang konstabel percubaan polis yang lari dari perkhidmatan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mereka didakwa bersama-sama dengan seorang yang masih belum dituduh telah dengan sengaja menyebabkan cedera parah dengan menggunakan sebatang buluh dan sebatang kayu terhadap Siti Normah Abdullah, 59, sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Pasangan kekasih itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah tanpa nombor dalam daerah Machang dekat sini kira-kira pukul 11 pagi pada 14 Disember lalu.
Kedua-dua mereka dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.
Kes pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar manakala hanya Mohd. Haziq diwakili peguam Ahmad Farhan Abdul Halim. – UTUSAN ONLINE










