KOTA BHARU 27 Dis. – Desakan keras dibuat Pas supaya P. Waytha Moorty meletakkan jawatan bukan kerana warna kulit atau keturunan beliau, sebaliknya kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu gagal melaksanakan tanggungjawabnya iaitu memperkukuh perpaduan rakyat.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, jika jawatan disandang Waytha itu dipegang oleh orang Melayu atau Cina sekalipun, desakan sama akan dibuat oleh Pas sekiranya menteri terbabit didapati gagal membawa perpaduan.
“Pas berpandangan tegas mengatakan Waytha Moorthy sebagai menteri perpaduan gagal melaksanakan tanggungjawab beliau. Disebabkan itu kita mendesak beliau meletak jawatan. Bukannya kerana beliau pemimpin kaum India, sebaliknya kerana kegagalannya melaksanakan tugas.
“Sekiranya kaum lain yang memegang jawatan itu dan dia juga gagal mewujudkan perpaduan, kita akan melakukan perkara sama kerana Pas bukan bersifat rasis (perkauman),” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu ditemui pemberita selepas melawat bekas Pemain Bola Sepak Kebangsaan, Awang Essa, 72, yang terlantar sakit akibat masalah tulang belakang, di sini hari ini.
Satu petisyen dilancarkan bulan lalu dan digerakkan oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS) di talian Change.org yang mendesak Waytha Moorthy meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri kini berjaya mengumpul lebih 279,156 tandatangan.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad wajar segera membuat keputusan bersesuaian memandangkan sudah hampir 300,000 rakyat menandatangani petisyen mengatakan Waytha Moorthy gagal sebagai menteri yang memegang portfolio perpaduan.
Kata beliau, Pas tidak mempunyai masalah sekiranya kerajaan mahu menggantikan Waytha Moorty dengan pemimpin lain yang juga daripada keturunan India.
“Sesiapa sahaja yang layak menggantikan dia sebab kita bukan rasis, asalkan individu berkenaan melaksanakan tanggungjawab dengan baik,” katanya. – UTUSAN ONLINE










