KUALA LUMPUR 27 Dis. – Tidak semua kepemimpinan tertinggi Pas bersetuju dengan pendapat Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah semalam yang melihat UMNO tiada lagi masa depan dan parti itu perlu dibubarkan.
Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, UMNO masih relevan sebagai parti teras dalam politik tanah air, khususnya sebagai pembangkang.
Kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu, UMNO perlu terus diperkasakan strukturnya bagi membolehkan parti tersebut menyuburkan amalan demokrasi di negara ini.
“Pas merasakan kepemimpinan baharu UMNO yang diterajui Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hassan perlu diberi peluang untuk merangka strategi bagi memimpin jutaan ahli.
“Peluang itu dilihat perlu kerana ahli-ahli UMNO memerlukan hala tuju dan cara ‘berpolitik baharu’ terutama selepas tidak lagi menjadi Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Semalam, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan mengulangi pendapat peribadinya bahawa UMNO sudah tidak mempunyai masa depan dalam politik dan mencadangkan agar parti itu dibubarkan.
Mohd. Amar berkata, cadangan tersebut telah lama disuarakannya malah telah banyak kali diulang dalam ceramah beliau selepas pelbagai kemelut dalaman melanda parti itu. – UTUSAN ONLINE










