KOTA BHARU 27 Dis.- Tindakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang masih belum mengumumkan pengganti Yusri Che Lah untuk mengemudi The Red Warriors (TRW) boleh mengundang ‘malapetaka’ terhadap pasukan itu dalam mengharungi saingan Liga Perdana 2019.

Mana tidaknya, tempoh persiapan pra musim hanya tinggal kurang lebih sebulan sahaja sebelum saingan sebenar bermula pada 1 Febuari depan.
Ketiadaan pengendali itu pastinya merencatkan perancangan untuk membentuk keserasian dan perlu diingat TRW musim depan dibarisi oleh 80 peratus barisan muda yang dinaikkan pangkat dari pasukan Piala Presiden.
Bagaimanapun, tugas memilih pemain untuk memperkuatkan TRW 2019 dilakukan oleh pengarah teknikal Kafa Jorg Peter Steinebrunner.
Bekas pengendali Kelantan musim 2006/2007 Anizan Daud berpandangan Kafa perlu menamakan segera pengganti Yusri untuk mengemudi pasukan.
Anizan berkata, tindakan menyerahkan kuasa kepada Peter Steinebrunner untuk memilih barisan ketika ini dikhautiri boleh menjejaskan persiapan pasukan.
Menurutnya, sepatutnya Kafa melantik terlebih dahulu jurulatih sebelum membawa masuk atau memilih pemain yang akan beraksi bersama TRW.
“Saya bimbang, bila jurulatih baharu lewat dibawa masuk, ia memberikan kesukaran kepada individu berkenaan untuk mengenali pemain.
“Perlu diingat, proses membentuk ramuan dalam tempoh yang singkat pasti memberikan impak buruk pada prestasi pasukan,” katanya.
Akhbar Utusan Malaysia 19 Disember lalu melaporkan, Kafa masih lagi mencari pengganti Yusri bagi mengemudi TRW untuk mengharungi saingan Liga Perdana 2019.-UTUSAN ONLINE










