Jenayah pecah rumah, curi meningkat di Perak - Utusan Malaysia

Jenayah pecah rumah, curi meningkat di Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Jenayah pecah rumah dan curi di Perak pada tahun ini sehingga semalam mencatatkan peningkatan sebanyak 17.68 peratus iaitu 1,005 kes berbanding 854 kes dilaporkan dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Perak, Senior Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, kebanyakan kes tersebut berlaku di taman-taman perumahan di beberapa daerah utama seperti Ipoh, Manjung, Hilir Perak, Taiping, Kampar, Batu Gajah dan Tapah.

“Jenayah ini berlaku disebabkan kecuaian tuan rumah itu sendiri di mana kediaman tidak dikunci dengan betul.

“Kebanyakan kes ini melibatkan rumah-rumah bujang yang tidak dikunci pintu apabila pulang ke rumah pada lewat malam dan menyebabkan ia mudah dimasuki penjenayah. Kadang-kadang rumah tersebut tiada kesan pecah masuk,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Majlis Dialog Pertubuhan Pencegahan Jenayah di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad turut menggalakkan orang ramai yang ingin meninggalkan kediaman mereka untuk tempoh masa agak panjang supaya berhubung dengan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) terdekat.

Tambah Mohamad, menerusi kerjasama dengan persatuan cegah jenayah di kawasan setempat, rondaan di sesebuah persekitaran dapat dipertingkat.

“Dengan rondaan bersama, kita dapat mengekang masalah pecah rumah yang meningkat lebih-lebih lagi mereka adalah mata dan telinga bagi pihak polis di sesebuah kawasan taman perumahan.

“Selain itu, orang ramai juga kena ambil pendekatan lebih baik seperti menyediakan dua atau tiga kunci termasuk penyelak pintu,” katanya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×