SHAH ALAM – Seorang bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM400,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan menerima wang rasuah berjumlah RM80,000, empat tahun lalu.
Hakim Rozilah Salleh turut memerintahkan tertuduh, Zailan Jauhari, 48, menjalani hukuman penjara selama setahun sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut. Tertuduh gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Zailan didakwa menerima suapan bagi mana-mana individu iaitu wang tunai berjumlah RM20,000 dan sekeping cek bernilai RM60,000 daripada seorang individu sebagai upah melakukan transaksi yang mungkin berlaku.
Upah yang diperolehi itu adalah bagi membantu Syarikat KCM Maju Resources dan Syarikat Sri Kajang Jaya mendapatkan tender kerja-kerja pembersihan sekolah Zon 2 dan Zon 4 di Kuala Selangor daripada Kementerian Pelajaran Malaysia.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Mak Engku Steamboat & Grill di alamat No 2 Jalan Bendahara ½,Taman Bendahara, Kuala Selangor pada 8 Januari 2014 antara pukul 7.30 petang hingga 8 malam.
Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009 yang juga boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Heikal Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam Yunus Shariff. – K! ONLINE









