70 peratus B40 diterima masuk MRSM - Utusan Malaysia

70 peratus B40 diterima masuk MRSM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Dis. – Sebanyak 70 peratus kuota pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi sesi persekolahan tahun hadapan bakal diisi golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40), melebihi sasaran awal iaitu 65 peratus.

Malah, keputusan tawaran ke MRSM juga telah diumumkan lebih awal iaitu pada Jumaat lalu, berbanding selepas sesi persekolahan dibuka pada tahun-tahun sebelum ini. 

DATUK SERI RINA HARUN
DATUK SERI RINA HARUN 

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun memaklumkan langkah yang dilaksanakan kementeriannya itu diharapkan dapat membantu ibu bapa mempersiapkan kelengkapan persekolahan pelajar dengan lebih teratur.

Jelas Rina, tiada isu timbul melibatkan kelayakan kemasukan ke MRSM memandangkan pihaknya telah pun melakukan beberapa penilaian sebelum tawaran dikeluarkan.

“Pertamanya kita lihat kepada keputusan peperiksaan dan padankan dengan jumlah pendapatan keluarga mereka. Itu yang diberi keutamaan. (Namun), ada juga yang kita berikan keistimewaan terutamanya kepada pelajar yang tinggal di kawasan luar bandar yang kita rasakan jika diberi peluang untuk belajar dalam keadaan kondusif, mereka boleh menjadi pelajar cemerlang.

“Ini merupakan langkah ke hadapan. Sebelum ini MRSM dikatakan sekolah untuk golongan elit sahaja. Jika ada pelajar yang tidak mendapat tempat, kita akan buka untuk proses rayuan dan akan diterima masuk sekiranya dirasakan bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program ‘Segak ke Sekolah: Jom Gunting Rambut’ di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek di sini hari ini.

Baru-baru ini, Rina dilaporkan berkata kuota 65 peratus kemasukan baharu ke MRSM bagi sesi 2019 mesti diisi B40 bagi membuka peluang lebih besar kepada pelajar dari kumpulan berkenaan untuk memperoleh pendidikan yang lebih berkualiti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×