JURULATIH olahraga kebangsaan, Mohd. Poad Kassim (gambar kecil) lebih gembira pelari-pelari pecut negara dihantar berkelana ke Amerika Syarikat (AS) selama setahun berbanding membazir wang ringgit untuk membayar gaji tinggi kepada pakar dari negara berkenaan.
Terdahulu, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menerusi presidennya, Datuk Karim Ibrahim mendedahkan bahawa pihaknya mahu melantik jurulatih dari AS, David Patrick untuk membimbing barisan atlet pecut dan lari berpagar negara bermula tahun depan.
Menurut Karim, langkah tersebut sudah mendapat persetujuan Majlis Sukan Negara dan hanya menanti kata putus daripada bekas pemenang pingat emas Piala Dunia 1998 itu yang mempunyai pengetahuan luas selama 16 tahun dalam bidang kejurulatihan.
Bagaimanapun, Poad yang juga jurulatih raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan tidak bersetuju dengan langkah itu kerana baginya dana tersebut lebih bermanfaat sekiranya diperuntukkan kepada pelari-pelari negara agar boleh berpangkalan di AS.
“Pengalaman berlatih di luar negara dengan jangka masa setahun amat penting. Kita perlu melabur dengan hantar atlet-atlet pecut terbaik dan beberapa jurulatih ke sana supaya ilmu yang dapat nanti boleh dikongsi bersama di Malaysia apabila pulang nanti.
“Jumlah gaji jurulatih AS itu pula dikatakan mampu menampung (perbelanjaan) atlet-atlet terpilih dan beberapa jurulatih ke sana bukan setakat setahun, bahkan lima tahun.
“Justeru, penting atlet negara mempunyai rakan sepelatih dalam kalangan pelari AS yang akan memainkan peranan dalam peningkatan prestasi mereka. Gaya hidup penduduk AS akan memberikan pengaruh positif kerana budaya sebegini dapat memotivasikan atlet untuk lebih bekerja keras.
“Atlet dapat menimba pengalaman bersama pelari terbaik sekali gus dapat mencapai prestasi maksimum. Mereka juga dapat mempelajari teknik atlet profesional berlatih dari aspek sikap, tingkah laku dan hubungan bersama jurulatih serta rakan sepelatih,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Pandangan Poad itu senada dengan pendapat legenda olahraga negara yang pernah merangkul gelaran raja pecut Asia Tenggara 2003, Nazmizan Muhammad.
KOM dan pihak terlibat dijangka perlu membelanjakan dana yang cukup besar jika mengambil jurulatih pakar dari AS, apatah lagi jika latihan mereka nanti turut diadakan di luar negara, maka jumlah kewangan yang digunakan pasti berlipat kali ganda.
Badan induk sukan olahraga negara sebenarnya boleh meniru cara yang dilakukan Indonesia apabila mereka menghantar atlet-atlet terpilih berlatih di AS bagi tempoh lama sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia yang lalu.
Hasilnya, Indonesia berjaya meraih dua pingat perak Sukan Asia 2018 menerusi kuartet 4×100 meter (m) lelaki dan atlet 100m lari berpagar wanita.









