Petrucci ikrar bantu Ducati raih kemenangan - Utusan Malaysia

Petrucci ikrar bantu Ducati raih kemenangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOLOGNA – Pelumba Itali, Danilo Petrucci mengakui selesa menjadi sebahagian daripada pasukan Ducati dan percaya dia mampu tampil dengan aksi luar biasa menjelang musim baharu Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

Petrucci yakin kemampuannya itu turut disokong menerusi kehadiran rakan sepasukannya, Andre Dovizioso yang menjadi tulang belakang untuk menjinakkan jentera Desmosedici GP19 musim depan.

Petrucci yang menjadi pelumba pasukan pengeluar musim depan mempamerkan tunggangan positif apabila muncul selaku pelumba terpantas pada aksi pramusim di Jerez bulan lalu manakala Andrea Dovizioso pada kedudukan ketujuh.

“Dovizioso seorang individu yang sangat baik, malah selesa bekerjasama dengannya. Saya yakin dengan situasi di garaj yang harmoni memberikan saya motivasi yang tinggi untuk melakukan yang terbaik dalam perlumbaan MotoGP musim depan.

“Ketika di Jerez, kami banyak bertukar pendapat mengenai GP19 dan saya mula merasai kelainan pada jentera ini. Meskipun sedikit kekok mengemudi jentera baharu ini tetapi masalah ketika di selekoh dilihat sudah diatasi dengan baik.

“Saya harap kami dapat menemui pelarasan yang lebih sempurna sebelum bermulanya perlumbaan pertama di Grand Prix Qatar pada 10 Mac nanti,” kata Petrucci.

Menjadi seorang pelumba utama Ducati adalah impian Petrucci sejak lama dahulu, malah pelumba berusia 28 tahun itu rela menunggu selama empat tahun di Pramac Ducati sebelum diangkat menyertai pasukan utama musim depan selepas Jorge Lorenzo menyertai pa­sukan Honda. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×