LIVERPOOL 27 Dis. – Liverpool melebarkan rekod tanpa kalah dalam Liga Perdana Inggeris kepada 19 perlawanan selepas membelasah Newcastle United 4-0 hari ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan pendahulu kepada enam mata mengatasi Tottenham.
Jaringan separuh voli Dejan Lovren pada minit ke-11 meletakkan Reds di depan seawal minit ke-11, sebelum Mohamed Salah (penalti), Xherdan Shaqiri dan Fabinho menambah tiga lagi gol pada babak kedua.
Tottenham bagaimanapun terus menghambat Liverpool selepas berpesta gol 5-0 ke atas Bournemouth dalam perlawanan yang menyaksikan Son Heung-min kembali menemui sentuhan dengan meledak dua gol.
Tiga lagi jaringan Spurs disempurnakan oleh Christian Eriksen, Lucas Moura dan Harry Kane. – AGENSI










