JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri ditahan pagi semalam bagi membantu siasatan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang disyaki menjadi mangsa dera oleh pasangan itu di rumah mereka di Bandar Dato’ Onn dekat sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Mohd. Afzanizam Yahaya, berkata, terdahulu polis menerima laporan daripada seorang doktor dari Hospital Sultan Ismail yang merawat mangsa.
“Doktor berkenaan tampil membuat laporan polis di Balai Polis Perling kita-kira pukul 1 pagi kelmarin selepas pemeriksaan doktor itu mendapati terdapat lebam pada badan, muka, dada dan bahagian belakang badan yang dipercayai akibat didera.
“Mangsa sebelum itu dipercayai pengsan ketika dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) oleh ibu bapanya, namun disahkan meninggal dunia oleh doktor di wad kecemasan hospital berkenaan.
“Kami kemudiannya menahan ibu bapa mangsa yang berusia 23 dan 33 tahun itu di rumah mereka kira-kira pukul 11 pagi bagi membantu siasatan,” katanya dalm satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati ibu tiri mangsa ada melakukan penderaan terhadapnya.
“Kita percaya kanak-kanak ini pernah didera beberapa kali berdasarkan kesan lebam pada badannya.
“Kita juga dapati ibu tiri mangsa berusia 23 tahun itu adalah warga Indonesia dan tidak mempunyai pasport serta kad pengenalan diri,” katanya.
Menurut Mohd. Afzanizam, bapa mangsa bekerja sebagai tukang masak tidak jauh dari rumah mereka, manakala ibu tirinya itu tidak bekerja.
“Kita masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE










