TANJUNG LESUNG, Pulau Jawa – Pihak berkuasa Indonesia memberi amaran cuaca ekstrem dan ombak besar di perairan sekitar gunung berapi Anak Krakatau semalam dan menggesa orang ramai menjauhi kawasan pantai yang dimusnahkan oleh tsunami sehingga mengorbankan lebih 400 orang.
Awan abu menjulang ke udara dari Anak Keratau hingga menyebabkan pulau vulkanik itu sukar dilihat. Kawah gunung berapi tersebut runtuh semasa air pasang besar Sabtu lepas dan mencetuskan ombak tsunami yang menghempas kawasan pantai di Selat Sunda.
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizikal (BKMG) memaklumkan kelmarin bahawa cuaca buruk di sekitar gunung berapi menyebabkan kawahnya berisiko untuk runtuh lagi.
“Kami telah membina sebuah sistem pemantauan khusus bagi mengukur aktiviti vulkanik Anak Krakatau supaya kami dapat memberikan amaran awal,” kata ketua BKMG, Dwikorita Karnawati.
Bencana tsunami itu melanda selepas kawasan seluas sekitar 90 padang bola sepak di pulau vulkanik tersebut runtuh dan mencetuskan ombak besar yang ‘menelan’ kampung-kampung nelayan serta resort percutian.
Dalam perkembangan sama, beribu-ribu orang terpaksa berlindung di khemah dan pusat penempatan sementara dengan berpuluh-puluh penduduk tidur di lantai dalam keadaan sesak.
“Segalanya musnah, bot saya, motosikal dan rumah saya,” kata seorang nelayan berumur 20 tahun, Ayub yang tinggal di sebuah khemah bersama keluarganya. – Reuters









