SEREMBAN – Sekumpulan anggota bomba yang ditugaskan memadam sebuah kereta terbakar di Taman Jasper Jaya di sini terkejut apabila mendapati terdapat mayat dalam kenderaan tersebut selepas api berjaya dipadamkan.
Penolong Penguasa Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Faizal Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kebakaran kereta jenis Nissan Sentra itu pada pukul 9.49 malam tadi.
“Pihak bomba mendapati terdapat sebuah kereta jenis Nissan Sentra sedang terbakar di bahu jalan apabila kami tiba di lokasi kejadian di Jalan Jasper Jaya 11.
“Kami segera memadamkan kebakaran dan terkejut apabila mendapati ada mayat rentung di tempat duduk pemandu selepas api dipadamkan dalam tempoh kira-kira lima minit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Faizal berkata, pihaknya tidak dapat mengenal pasti identiti termasuk jantina mayat yang rentung 100 peratus itu sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada pihak polis.
Jelas beliau, seramai lapan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 bersama dua buah jentera terlibat dalam operasi memadam kebakaran kereta itu.
Menurut beliau, setakat maklumat diperolehi pihak bomba tiada penduduk berhampiran lokasi kejadian mempunyai maklumat tentang kereta berkenaan. – K! ONLINE










