LONDON 26 Dis. – Gareth Southgate memuji sikap Raheem Sterling yang berani menyuarakan isu penghinaan perkauman dalam bola sepak.
Semasa Manchester City tewas kepada Chelsea di Stamford Bridge, awal bulan ini, Sterling didakwa menjadi mangsa perkauman. Ekoran insiden itu, Chelsea bertindak menggantung empat penyokong mereka untuk siasatan lanjut.
Sterling pula menggunakan platform Instagram menyelar liputan media yang sering memberi gambaran buruk terhadap pemain muda berkulit hitam, sehingga mendorong kepada isu perkauman.
Pengurus England, Southgate berpendapat, tindakan berani Sterling wajar diberi pujian kerana pemain itu telah membantu membangkitkan isu berkenaan di mata umum.
“Mudah untuk saya bercakap tentang apa yang Raheem lakukan dan betapa beraninya dia menyuarakan pandangan. Kita melihat insiden perkauman sejak beberapa bulan lalu dan ia tidak boleh diterima sampai bila-bilapun jika perkara sama berlaku pada masa depan.
“Kita perlu berharap perkara seumpama ini tidak akan berulang. Bola sepak menjadi cermin kepada masyarakat dan malangnya perkauman wujud di dalam kehidupan kita. Jadi, kadang kala orang mengambil kesempatan di stadium bola sepak untuk membakar semangat perkauman.
“Kita perlu berdiri teguh, agar insiden sebegini tidak berlaku. Saya fikir Raheem mengulas tentang apa yang berlaku di stadium, tetapi dalam masa sama tanpa kita sedari sikap berat sebelah itu mungkin wujud,” kata Southgate. – AGENSI










