KUALA LUMPUR 26 Dis. – Rumah kediaman di Kuala Lumpur mencatatkan kejatuhan buat pertama kali dalam tempoh setahun, menurut firma penyelidikan hartanah global.
Menurut Portal The Edge yang memetik laporan Indeks Kediaman Bandar Raya Suku Ketiga 2018 oleh Knight Frank Global berkata, harga hartanah di Kuala Lumpur jatuh sebanyak 0.6 peratus daripada suku ketiga 2017 hingga suku ketiga 2018.
Selain Kuala Lumpur, bandar raya utama yang mencatatkan kejatuhan harga kediaman ialah London sebanyak -0.3 peratus, Melbourne (-1.5 peratus) dan Shanghai (-0.2 peratus).
Dalam senarai terbawah yang merangkumi 150 bandar di seluruh dunia, 44 bandar adalah dari Asia Pasifik iaitu Stockholm (-7 peratus), Tel Aviv (-8 peratus) dan Turin (-13 peratus).
“Keadaan ekonomi yang tidak berubah, penawaran baharu yang lebih banyak serta kemampuan terhad menyumbang kepada kejatuhan harga kediaman di bandar,” kata laporan itu.
Secara keseluruhan, harga kediaman global meningkat secara purata sebanyak 4.5 peratus bagi tempoh suku sebelumnya dengan 123 bandar mencatat kenaikan harga untuk kediaman dalam tempoh 12 bulan.
Harga kediaman di rantau Asia Pasifik meningkat paling tinggi bagi suku ketiga 2018 pada 6.2 peratus dalam tempoh 12 bulan, melepasi kadar peningkatan purata global.
Sebanyak enam bandar di Asia termasuk empat dari India merupakan sebahagian daripada 10 bandar raya yang menunjukkan prestasi terbaik iaitu Xi’an, Ahmedabad, Hyderabad, Bengaluru, Hong Kong dan Surat.
Pendahulu senarai pada suku ketiga 2018 ialah bandar Xi’an, China yang mencatat kenaikan 20 peratus sehingga September, mengatasi bandar-bandar lain di China.
Ibu kota Wilayah Shaanxi di tengah China mencatat kadar pertumbuhan hampir dua kali ganda berbanding Changsha iaitu 10.9 peratus, bandar kedua yang mencatat pertumbuhan kukuh.
“Pelbagai langkah diperkenalkan untuk membantu pertumbuhan sejak kebelakangan ini dengan yang terakhir mengehadkan dua rumah untuk penduduk tempatan dan satu untuk bukan penduduk Xi’an,” kata laporan itu.










