IPOH 26 Dis. – Pihak taman tema animasi, Movie Animation Park Studios (MAPS) di Bandar Meru Raya di sini sedang menjalankan siasatan berhubung aduan cermin dua buah kereta pengunjung dipecahkan dalam kejadian pada Ahad lalu.
Penolong Pengurus Pegawai Perkhidmatan Awam dan Komunikasinya, Mazian Nawawi berkata, tiada sebarang kompromi oleh pihaknya berkaitan soal keselamatan pengunjung di taman tema berkenaan.
Malah katanya, pihak pengurusan juga sentiasa meningkatkan mutu perkhidmatan dan khidmat pelanggannya dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada pengunjung.
“Jumlah kakitangan telah ditambah terutama pada musim cuti persekolahan dan juga cuti umum bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.
“Selain itu, latihan-latihan khidmat pelanggan kepada semua kakitangan terus ditambah baik dalam usaha melindungi keselamatan sekali gus meningkatkan kepuasan pengunjung MAPS,” katanya dalam kenyataannya, di sini hari ini.
Pelakon Ardell Aryana dalam satu muat naik status terbaharu di akaun Instagram miliknya mendakwa dua buah kereta termasuk keretanya telah dipecah pada bahagian cermin semasa mengunjungi taman tema itu Ahad lalu.
Ardell yang turut memuat naik empat keping gambar kejadian itu mendakwa terpaksa menunggu selama dua jam tanpa sebarang tindakan daripada petugas taman tema berkenaan.
Menurut Mazian, MAPS telah pun menghubungi Ardell bagi menyatakan permohonan maaf dan kekesalan di atas kesulitan yang dialami pelakon itu dan keluarganya.
“Kami amat bersimpati dengan kejadian yang menimpa beliau dan siasatan mengenai kejadian itu masih dijalankan.
“Kami memberi jaminan tidak akan berkompromi soal keselamatan pengunjung MAPS,” katanya. – UTUSAN ONLINE










