LONDON – Pemain pertahanan Arsenal, Sead Kolasinac terus mempertahankan rakan sepasukan, Mesut Ozil selepas pemain antarabangsa Jerman itu berdepan kritikan sejak kebelakangan ini.
Ozil berjaya menutup mulut pengkritik apabila menampilkan aksi berkualiti ketika membantu The Gunners menewaskan Burnley pada aksi Liga Perdana England di Stadium Emirates, Sabtu lalu.
Kolasinac menegaskan, media sering mencipta berita-berita sensasi, terutamanya mengenai pemain ternama seperti Ozil sehingga menjejaskan reputasinya selaku pemain yang dihormati.
“Apabila anda adalah seorang bintang bola sepak seperti Mesut, inilah yang perlu anda hadapi. Saya tahu sentiasa ada berita panas mengenainya tetapi kami sebagai rakan sepasukan langsung tidak peduli.
“Apa yang paling penting adalah kami semua sentiasa berada di belakang Mesut. Walaupun ada berita buruk mengenai dia, namun kami lebih kenal dan tahu kemampuannya,” tegas Kolasinac.
Pemain kelahiran Jerman itu juga menyuarakan rasa kagumnya apabila melihat Ozil melakukan hantaran menarik kepadanya sehingga membolehkan The Gunners menjaringkan gol pertama ketika menentang Burnley.
“Kita semua tahu kualiti yang dimiliki Mesut dan saya juga tidak jangka dia melakukan hantaran itu. Harus diakui, tidak ramai pemain yang mampu melakukan hantaran seperti yang dilakukannya,” ujarnya. – Agensi











