KUALA LUMPUR 24 Dis. – Selain banjir kilat, perubahan angin monsun yang dijangka berterusan sehingga Mac tahun depan turut mengundang satu lagi malapetaka yang digeruni warga kota iaitu pokok tumbang.
Bagi yang tinggal di Lembah Klang, masalah pokok tumbang di sepanjang jalan raya bukan sahaja berisiko meragut nyawa bahkan turut memusnahkan harta benda.
Pada tahun lalu seorang wanita yang menjadi pembonceng motosikal maut selepas dihempap pokok hujan-hujan yang tumbang berhampiran Menara Berkembar KLCC.
Sementara itu, statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan sebanyak 3,454 kes pokok tumbang dilaporkan berlaku dari Januari hingga Oktober lalu dengan purata 298 kes sebulan di seluruh negara.
Berdasarkan statistik itu, orang ramai khususnya pengguna jalan raya di kawasan bandar merupakan antara kelompok yang paling berisiko terlibat dalam kemalangan itu.
Selain pokok-pokok yang menghias landskap sepanjang jalan raya, orang ramai turut terdedah dengan bahaya pokok tumbang di kawasan perumahan dan taman-taman awam.
Di Kuala Lumpur sahaja misalnya, pokok-pokok yang menjadi sebahagian daripada landskap ibu kota boleh dikatakan berisiko untuk tumbang pada bila-bila masa.
Bahkan isu berkenaan pernah mendapat perhatian Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang menggesa pokok-pokok yang terlalu tua dikaji kekuatan sistem akarnya supaya tidak mudah rosak dan akhirnya tumbang.
Cadangan Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Mahmod supaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mendapatkan kepakaran khidmat arboris untuk memeriksa tahap ketahanan akar pokok juga tidak diketahui sejauh mana pelaksanaannya.
Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan yang terdedah seperti di Jalan Ampang, Jalan Kuching, Melawati, Keramat, Semarak, Shah Alam dan Sentul mendapati kebanyakan pokok-pokok besar yang terletak di kaki lima jalan masih tidak banyak berubah berbanding tahun lalu.
Sebahagiannya bukan sahaja bersaiz besar dan merimbun sehingga menjadi sarang pembiakan gagak bahkan ada dahan-dahan yang sudah mereput dan jatuh di atas jalan raya.
Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Bandar Tasik Permaisuri, Jalan Semerah Padi, kawasan perumahan Cheras Ria dan jalan berhampiran Medan Connaught mendapati sebahagian dahan pokok berusia sudah melentur dan mencecah bahagian tepi jalan kerana sudah panjang dan berat.
Berdasarkan pemerhatian, ketidakstabilan cerun juga boleh membawa kepada kejadian pokok tumbang sekiranya tidak diambil perhatian.
Sehubungan itu, orang ramai mahu pihak berkuasa tempatan mengambil langkah keselamatan berkenaan isu ini supaya tiada lagi pengguna jalan raya menjadi mangsa kejadian pokok tumbang.
Rata-rata orang ramai yang ditemui berkata, walaupun menyedari kepentingan pokok-pokok berkenaan kepada manusia, pihak bertanggungjawab perlu serius menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala termasuk mencantas dahan atau menebang pokok berkenaan.
Utusan Malaysia diberitahu, bagaimanapun tindakan itu hanya diambil setelah menerima laporan dan aduan daripada penduduk. Janganlah menunggu ada nyawa yang melayang, baru tindakan mahu diambil.










