KUALA LUMPUR 24 Dis. – Menjelang sambutan Hari Natal esok, masih ramai membuat persiapan membeli kelengkapan perayaan pada saat-saat akhir.
Di ibu kota, kemeriahan perayaan itu dapat dilihat di beberapa pusat beli-belah, hotel dan restoran serta deretan kedai yang dihiasi lampu berwarna-warni dan dekorasi bertemakan sambutan perayaan itu sejak tiga minggu lalu sebagai tarikan, terutamanya kepada pelancong asing.
Seperti kebiasaan, saban tahun pokok Krismas merupakan antara dekorasi yang menjadi pilihan dan tumpuan malah ia dianggap simbolik bagi perayaan itu dihiasi pula dengan pelbagai hiasan gantungan seperti lampu kelip-kelip yang berkilauan, bebola pelbagai warna, pokok-pokok ceri, buah pokok ‘pine’, serta kotak-kotak hadiah kecil.
Tinjauan Utusan Malaysia di sebuah kedai di sekitar Jalan Petaling di sini hari ini mendapati, pelanggan tidak putus-putus berkunjung untuk membeli pokok krismas dan pelbagai perhiasan lain.
Menurut penyelia di sebuah kedai perhiasan dan pemborong cenderamata, Nicholas Low, 21, setiap tahun kedainya akan menjual pelbagai jenis pokok krismas dan ia merupakan barangan perhiasan yang paling laris dijual.
“Pada tahun ini, pokok krismas yang dihiasi dengan pokok ceri dan buah pokok ‘pine’ serta kalungan antara yang paling mencuri tumpuan.
“Setiap tahun rekaan pokok krismas sentiasa diubah suai mengikut peredaran zaman,” katanya.
Tambahnya, trend hari ini memperlihatkan pokok krismas yang ditaburi salji dan dihiasi dengan pokok-pokok ceri, bebola berwarna-warni, burung merak berwarna putih merupakan tarikan untuk orang ramai membelinya dan menjadi pelengkap sambutan Krismas.
Bagi Eksekutif akaun, Nordyaliz Aznan, 32, pula mengakui setiap tahun dia tidak melepaskan peluang untuk membeli pokok-pokok krismas bersaiz kecil yang banyak dijual di beberapa buah kedai sekitar ibu kota untuk dijadikan sebagai perhiasan di dalam kereta, bilik tidur dan di meja makan.
“Bagi penggemar pokok krismas ini pasti akan mengenali perbezaan dekorasi pada pokok ini kerana walaupun tampak sama tetapi sebenarnya ia didatangkan dengan perhiasan yang berlainan setiap tahun,” katanya.
Bagi peniaga Jasu Dass, 47, dia akan menghabiskan RM1,000 setiap tahun untuk membeli pelbagai hiasan kelengkapan Krismas malah RM600 pasti akan digunakan untuk membeli pokok krismas.
Turut berkongsi kemeriahan sambutan Hari Natal, Anngerliz, 31.
Katanya, dia sudah biasa membeli pelbagai perhiasan pada saat-saat akhir kerana kedai yang sering dikunjungi saban tahun itu menyediakan bekalan mencukupi kepada pelanggan.
Selain pokok krismas dan hiasan pada pokok itu, terdapat beberapa perhiasan yang menjadi pilihan ramai iaitu patung Santa Claus, kotak yang mengandungi salji dan kincir angin, perhiasan rusa dan banyak lagi yang boleh didapati dengan harga yang sangat berpatutan serta mempunyai diskaun sehingga 60 peratus.
Malah berada di kedai perhiasan ini mengingatkan kembali kita pada zaman kanak-kanak yang sering berangan-angan untuk berjumpa dengan rusa yang membawa Santa Claus ini dengan pelbagai hadiah. – UTUSAN ONLINE










