KUALA LUMPUR 22 Dis. – Siri laporan Utusan Malaysia yang mendedahkan keluhan serta rintihan golongan peneroka dan pekebun kecil getah di seluruh negara mendapat perhatian kerajaan.
Ini selepas Kementerian Hal Ehwal Ekonomi menyatakan komitmen dan iltizam untuk memastikan kebajikan serta kesejahteraan peneroka dan pekebun kecil getah akan terus diperjuang bagi merealisasikan usaha pembangunan ekonomi yang inklusif.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali malah memberitahu, sebagai kementerian yang bertanggungjawab ke atas Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan memahami cabaran dilalui penoreh serta pekebun kecil, pihaknya telah berusaha gigih memperjuangkan kebajikan mereka.

“Melihat situasi semasa, melibatkan penoreh dan pekebun kecil getah, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi telah memperjuangkan keperluan untuk golongan sasar ini diberi Bantuan Musim Tengkujuh bagi meringankan beban yang ditanggung.
“Melalui usaha sama antara kementerian kami dan Kementerian Kewangan, kerajaan telah membuat keputusan untuk memperuntukkan RM164,783,400 bagi membiayai Bantuan Musim Tengkujuh kepada 274,639 pekebun kecil getah yang berdaftar dengan RISDA.
“Jumlah ini meliputi 255,997 pemilik pengusaha iaitu pekebun yang mengusahakan sendiri kebun dengan keluasan tidak melebihi 2.5 hektar dan 18,642 penoreh bukan pemilik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sebanyak 274,639 pekebun kecil getah yang berdaftar dengan RISDA akan menerima Bantuan Musim Tengkujuh sebanyak RM600 seorang.
Kata beliau, bantuan tersebut akan dibayar secara dua peringkat iaitu sebanyak RM300 pada akhir tahun ini dan baki RM300 lagi pada awal tahun depan.
Utusan Malaysia sejak beberapa bulan lalu menyiarkan rintihan golongan pekebun yang mengalami tekanan kewangan ekoran pelbagai implikasi kejatuhan harga komoditi itu.
Menerusi pelbagai laporan yang disiarkan, Utusan Malaysia mendekati golongan pekebun di seluruh negara untuk mendapatkan gambaran sebenar kesukaran dialami mereka.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, kerajaan amat menyedari penoreh dan pekebun kecil adalah golongan yang terkesan secara langsung berikutan kemerosotan harga komoditi getah di peringkat global.
Kata beliau, keadaan itu semakin meruncing akibat musim tengkujuh yang menjejaskan penjanaan ekonomi mereka.
Menurut Mohamed Azmin, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad amat cakna dan prihatin dengan kesulitan dihadapi oleh penoreh dan pekebun kecil getah.
“Walaupun kerajaan menghadapi kekangan kewangan, Perdana Menteri menegaskan agenda untuk menjaga kepentingan golongan berpendapatan rendah khususnya penoreh dan pekebun kecil getah diberi keutamaan oleh kementerian berkaitan,” jelas beliau.










