KUALA LUMPUR 22 Dis. – Pemenang pingat emas 100 meter Sukan Universiti ASEAN 2018, Muhd. Aqil Yasmin berkeyakinan untuk memburu tempat dalam kontinjen Sukan SEA 2019.
Kata Muhd. Aqil, dia sedar cabaran untuk merebut slot ke temasya Manila amat mencabar kerana perlu bersaing dengan jaguh pecut seperti Khairul Hafiz Jantan serta Jonathan Nyepa.
Katanya lagi, untuk layak ke Sukan SEA 2019 dia perlu meraih keputusan terbaik dalam Terbuka Malaysia pada Mac 2019.
“Saya kena menamatkan acara 100 dan 200m dalam kedudukan dua terbaik untuk mendapatkan solot ke Sukan SEA.
“Ramai pencabar hebat akan beraksi dalam kejohanan itu, jadi ia tidak mudah.
“Saya juga perlu berdepan pemegang rekod kebangsaan dan juara Sukan SEA, Khairul Hafiz Jantan, Jonathan dan beberapa jaguh pecut negara yang lain merealisasikan impian,” kata Muhd. Aqil.
Dalam temasya Sukan Universiti ASEAN 2018 di Myanmar, Muhd. Aqil mencatat masa 10.53 saat untuk memenangi saingan akhir 100m lelaki di Stadium Wunna Theikdi pada Ahad lalu.
Ketika ini catatan peribadi terbaik Muhd. Aqil dalam acara 100m ialah 10.39s dilakukan ketika meraih pingat emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Ipoh pada September lalu.











