Perkembangan otak lebih baik dengan tumbesaran sihat - Utusan Malaysia

Perkembangan otak lebih baik dengan tumbesaran sihat

KHASIAT cukup bantu perkembangan si manja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAGAI ibu bapa, sudah tentu kita mahukan yang terbaik untuk anak. Namun demikian, walaupun kita telah berusaha sebaik-baiknya, kita mungkin terlepas pandang aspek tumbesaran sehinggalah kita menyedari bahawa anak kita itu, lebih kecil atau rendah berbanding rakan sebayanya.

Menurut Pengerusi program IMFeD for Growth dan Pakar Runding Gastroenterologi dan Hepatologi Pediatrik di Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Lee Way Seah, pertumbuhan seseorang kanak-kanak adalah petunjuk terbaik keadaan kesihatannya secara keseluruhan.

Di mana kanak-kanak membesar dengan baik selalunya berkembang pada kadar optimum manakala tumbesaran terbantut menjejaskan kesihatannya secara keseluruhan dan yang paling penting, perkembangan otaknya.

Otak berkembang dengan pantas sepanjang dua tahun pertama selepas lahir. Mereka memiliki berbilion neuron apabila dilahirkan.

Sungguhpun begitu, yang lebih penting ialah sambungan antara sel-sel otak membolehkan kanak-kanak itu bergerak, berfikir dan berinteraksi. Salah satu faktor mewujudkan sambungan ini ialah aspek pemakanan yang mana ia memberikan kesan ketara terhadap tumbesaran.

Dalam tempoh beberapa bulan pertama selepas dilahirkan, sehingga 75% nutrien dimakan oleh bayi digunakan untuk menghasilkan sel-sel otak serta sambungan di antaranya. Atas sebab ini, adalah sangat penting kanak-kanak ini diberi khasiat secukupnya supaya sistem saraf mereka dapat berkembang pada tahap yang optimum.

TUMBESARAN DAN OTAK
Tumbesaran kurang baik mengakibatkan perkembangan otak kurang baik. Kanak-kanak terbantut mungkin tidak akan dapat mencapai keupayaan kognitif sepenuhnya kerana sambungan antara sel-sel otak mereka terganggu. Jika perkembangan kognitif anak kita tidak sempurna, pencapaiannya di sekolah juga mungkin terjejas.

Tumbesaran terbantut maksudnya seseorang kanak-kanak itu terlalu rendah berbanding dengan kanak-kanak sebaya. Inilah salah satu penunjuk terbaik bahawa seseorang kanak-kanak itu mungkin tidak membesar dengan baik dan berlaku apabila dia tidak menerima khasiat secukupnya.

Masalah kurang zat makanan sebenarnya adalah isu lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak seluruh dunia.

Di Malaysia, kadar kejadian tumbesaran terbantut dalam kalangan kanak-kanak bawah usia 5 tahun, meningkat secara mendadak daripada 16.6% pada tahun 2011 kepada 21.8% pada tahun 2019.

Antara lain ia berpunca daripada makanan kurang berkhasiat dan terhad, kesukaran pengambilan makanan serta tahap kesedaran rendah dalam kalangan ibu bapa antara faktor ia berlaku.

Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) dengan sokongan Abbott Malaysia, memulakan kempen mengoptimumkan tumbesaran kanak-kanak dan semua ibu bapa dipelawa menyertainya.

Doktor akan mencadangkan beberapa kaedah sesuai membantu anak anda makan dengan lebih baik, dengan itu menambah baik atau memaksimumkan khasiat diterimanya semasa makan.

POLA TUMBESARAN :
* Berbeza bagi setiap kanak-kanak. Tumbesaran terlalu pantas ataupun terlalu perlahan mungkin suatu tanda masalah kesihatan atau pemakanan.

* Kanak-kanak membesar pada kadar 12 sentimeter (sm) setahun dalam tempoh lima tahun pertama dan hanya lima sm setahun selepas umur lima tahun.

* Kira-kira 60% ketinggian pada usia dewasa boleh dicapai dalam tempoh lima tahun pertama, dengan syarat anak anda mendapat khasiat dan tidur yang secukupnya, melakukan gerak kerja jasmani yang mencukupi serta menjaga kebersihan dirinya.

* Jika anda ingin mengetahui ketinggian yang boleh dicapai oleh anak anda apabila dia dewasa kelak, tanya doktor mengenai ketinggian perantaraan ibu bapa.

Harap maklum bahawa maklumat ini cuma memberi anggaran ketinggiannya kerana ketinggian sebenar dipengaruhi oleh pemakanan, hormon dan ciri-ciri genetik kanak-kanak tersebut.

Rencana sumbangan Persatuan Pediatrik Malaysia menerusi program IMFeD for Growth.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×