Bongkar penemuan zaman prasejarah di Gua Chawan - Utusan Malaysia

Bongkar penemuan zaman prasejarah di Gua Chawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 1991 negara pernah dikejutkan dengan penemuan rangka manusia prasejarah Perak Man, di Perak apabila ia diiktiraf sebagai satu-satunya kerangka purba paling lengkap pernah ditemui di Asia Tenggara, sekali gus telah mengubah kawasan Lembah Lenggong sebagai tapak kebudayaan arkeologi.

Selepas 27 tahun, sekali lagi bidang arkeologi negara berjaya membuat penemuan baharu susulan penemuan satu rangka manusia prasejarah di Gua Chawan, Nenggiri, Ulu Kelantan, Kelantan.

Rangka manusia yang berjaya ditemukan pada bulan lalu itu oleh sekumpulan pengkaji arkeologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama pegawai Bahagian Arkeologi Jabatan Warisan Negara (JWN) serta penyelidik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dikenal pasti sebagai perempuan dan dianggarkan berusia antara 6,000 hingga 8,000 tahun.

Rangka hampir lengkap itu yang terdiri daripada tengkorak, tulang pelvis, tulang belakang, tulang paha dan tulang rusuk itu ditemukan sewaktu penyelidikan dan ekskavasi arkeologi secara sistematik dijalankan oleh pasukan penyelidik dengan diketuai oleh Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) Prof. Madya Dr. Zuliskandar Ramli.

Lokasi gua berkenaan yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan menggunakan jalan balak dan air dari Pos Tohoi, Gua Musang adalah tapak arkeologi yang sememangnya terkenal dalam kalangan pakar arkeologi sebelum ini.

Bagaimanapun, penemuan tersebut sebenarnya tidak dijangkakan memandangkan kawasan itu hanya dikenali sebagai tempat untuk menghasilkan alat batu zaman Hoabinhian berbanding gua berhampiran iaitu Gua Cha yang terkenal sebagai tapak pengebumian masyarakat Hoabinhian dan neolitik sejak 12,000 hingga 13,000 tahun lalu.

Menurut Zuliskandar, rangka manusia prasejarah itu ditemukan di lokasi yang dahulunya berkemungkinan kawasan penempatan manusia pada zaman tersebut memandangkan lokasinya yang berhampiran sungai dan terlindung daripada ancaman haiwan buas.

Katanya, rangka lengkap daripada bahagian kaki hingga kepala itu ditemukan dalam kedalaman 1.5 meter dengan keadaan sempurna dan tertanam bersama alat ritual yang diamalkan masyarakat pada zaman itu.

“Berbanding rangka Perak Man yang dijumpai dalam keadaan melipat daripada lutut sampai pada dagu seolah-olah bayi dalam kandungan, penemuan rangka manusia di Gua Chawan menunjukkan lipatan yang tidak ketara, ketika ditemukan rangka manusia itu ditanam dalam keadaan sedikit melipat dengan bahagian muka menghala ke arah utara manakala bahagian lutut menghala ke bahagian selatan. Ini menunjukkan evolusi yang berlaku melibatkan cara pengebumian mayat pada waktu itu.

“Selain itu, kita juga menemui rangka yang dipercayai tulang burung dalam mulut rangka manusia tersebut, kemungkinan ritual tersebut mempunyai hubung kait dengan alam selepas itu, ini sekali gus memberi fakta baharu terhadap amalan pengebumian dan budaya kehidupan masyarakat zaman prasejarah di Malaysia,“ katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Menurutnya, rangka tersebut kemudiannya dibawa ke ibu negara untuk proses konservasi manakala sampel gigi dan cengkerang siput pula akan dihantar ke Makmal Beta di Amerika Syarikat untuk proses pentarikhan kronometrik.

PROSES KONSERVASI RANGKA

Sementara itu, Pembantu Muzium Kanan Bahagian Arkeologi JWN, Khairil Amri Abdul Ghani berkata, selepas rangka tersebut dibawa balik ke makmal sementara konservasi JWN, proses konservasi melibatkan kerja-kerja perekodan, pengambilan sampel, pembersihan, pentarikhan, pencatuman, pengawalan kelembapan dan suhu serta repositori akan dilakukan.

“Selepas kita menerima rangka ini, perkara pertama yang dilakukan ialah dengan memisahkan tulang-tulang tersebut dengan tanah, kemudian proses cucian kering menggunakan lidi dan berus akan dilakukan tanpa melibatkan sebarang bahan kimia bagi menentukan bahagian mana yang keras atau rapuh.

“Selepas proses pengeringan selesai dibuat menggunakan tisu, kita akan mencantumkan semula bahagian-bahagian tertentu dengan menggunakan gam khas, kemudian barulah proses identifikasi dilakukan seperti mengenal pasti tulang pelvis dan lain-lain.

Selepas itu, rangka ini akan disusun secara menegak untuk memudahkan proses mengenal pasti bahagian kanan atau kiri tulang-tulang berkenaan,“ katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×