MENGANGGAP Malaysia sebagai rumah keduanya, siapa yang tidak mengenali penyanyi kecil molek yang satu ini. Sejak lebih sedekad yang lalu nama Rossa menghiasi industri muzik tempatan dengan ratusan buah lagu.
Dia juga antara permata negara tetangga yang disayangi orang di sini. Tidak hairanlah jika nama Rossa sering mengisi acara kalendar muzik tempatan dengan konsert berskala besar setiap tahun.
Namun sejak kebelakangan ini namanya seakan-akan suram dengan ketiadaan konsert besar di sini. Lagu baharu juga jarang didengar di radio sehingga ada yang menganggap kerjaya seninya makin suram.
Bertemu Rossa di Kuala Lumpur baru-baru ini, penyanyi yang popular dengan lagu Pudar menjawab beberapa isu panas yang diajukan kepadanya.
Sudah jarang muncul di sini dengan konsert besar dan lagu baharu, adakah kerjaya seni anda berada semakin suram?
Tidak juga suram sebenarnya memandangkan undangan menyanyi masih ada tetapi tidak diberikan liputan. Satu bulan saya masih menyanyi dalam 25 hari dan hanya lima hari untuk berehat. Album baharu ada tapi tidak dipasarkan di Malaysia. Sebetulnya, ada masalah berkaitan syarikat rakaman di sana untuk memasarkan album itu di sini. Mungkin kerana itu kebanyakan peminat menanggap kerjaya seni saya semakin perlahan. Padahal album New Chapter terjual sebanyak 1.7 juta unit di sana.
Adakah Rossa masih berharap kepada penjualan album fizikal memandangkan kebanyakan artis lebih tertumpu kepada penjualan digital?
Kena berubah mengikut peredaran zaman. Saya antara generasi lama yang bermula dengan penjualan album tetapi beruntung kerana masih mampu mengikut peredaran semasa yang lebih tertumpu kepada digital. Malah melalui beberapa aplikasi seperti Joox dan Sportify ramai yang mendengarkan lagu saya melaluinya. Terbaharu saya juga menerima anugerah sempena Apple Music Arward di Los Angeles sebagai dalam kategori Artis Indonesia Terbaik.
Kebanyakan penyanyi senior cukup takut dengan peredaran semasa yang sedikit sebanyak menenggelamkan mereka. Pendapat Rossa?
Ya, harus diakui perkara itu memang terjadi dengan kehadiran penyanyi baharu. Di Indonesia sendiri ramai muka baharu yang bagus muncul seperti Raisa dan Isyana Sarasvati. Saya adalah manusia yang ‘berjalan’ mengikut apa adanya sahaja. Soal populariti bukan lagi sesuatu untuk dikejar dan itu adalah bonus sahaja. Kalau masih menghasilkan lagu yang baik, sesiapa sahaja akan mendapat populariti. Apa yang paling penting nyanyian saya dibayar (ketawa).
Bagaimana berhadapan dengan komen netizen dalam media sosial?
Pening! Kalau saya menjadi juri untuk mana-mana program hiburan pasti akan ada komen jelik yang muncul di Instagram. Tidak semua orang bersetuju dengan komen yang diberikan, maka media sosial akan menjadi tempat mereka melepaskan amarah. Satu lagi, saya sedaya upaya cuba untuk mengelak memberikan komen balas berbentuk negatif kepada peminat. Ada kala mereka menyindir dan saya balas. Kalau dibalas pasti akan berpanjangan sehingga dipetik portal hiburan dan menjadi berita besar. Lebih baik diam sahaja.
Hampir sedekad hidup solo selepas bercerai dengan Yoyo Padi, mengapa masih belum membuka hati untuk mana-mana lelaki?
Ada kala saya terfikir juga tentang perkara itu tetapi bukanlah satu keutamaan. Kesibukan setiap hari memenuhi undangan nyanyian pun sudah membuatkan saya melupakan hal yang satu itu. Bila ada masa terluang biasanya akan dihabiskan dengan anak (Rizky Langit Ramadhan, 12 tahun). Sebetulnya biarlah saya membahagiakan orang tua terlebih dahulu. Kalau jodoh itu datang, saya terima sahaja.
Dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan Afgan dan ada yang mendakwa anda sudah bernikah dengannya. Betulkah?
Tidak sama sekali dan antara kami tidak seperti yang mereka perkatakan. Sebetulnya itu hanyalah jenaka yang dibuat oleh Melly Goeslow yang mengatakan kami sudah bernikah. Tiba-tiba esoknya ada yang membuat video seolah-olah kami sudah berkahwin secara senyap. Masalahnya video tersebut ditonton berjuta-juta orang dan menguntungkan dia. Habis saya dapat apa?
Dianugerahkan gelaran Datuk Seri daripada negeri Pahang baru-baru ini, ada yang kurang senang dengan hal tersebut. Apa pandangan Rossa?
Saya tidak kisah sebenarnya dengan apa sahaja persepsi orang terhadap darjah kebesaran yang diterima. Dalam hal ini, saya dianugerahkan dan tiada sebab untuk saya mempersoalkan mengapa saya menerimanya. Pihak Istana Pahang ada sebab memberikan dan saya sangat menghargainya.










