Pegawai Pengurusan Kanan Tabung Haji dibebaskan dengan jaminan SPRM - Utusan Malaysia

Pegawai Pengurusan Kanan Tabung Haji dibebaskan dengan jaminan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Mahkamah Majistret di sini hari ini membebaskan seorang pengurus kanan Tabung Haji selepas beliau membantu siasatan berhubung kes penggunaan syarikat kontraktor penghias dalaman yang dilantik oleh lembaga itu untuk kerja-kerja pengubahsuaian di rumahnya.

Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan pegawai kanan tersebut dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 dan pasportnya perlu diserahkan kepada pihak suruhanjaya itu.

Beliau membayar jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah.

Terdahulu, beliau tiba dengan memakai baju kemeja berwarna biru kira-kira pukul 10 pagi sebelum dilihat meninggalkan perkarangan mahkamah 40 minit kemudian.

Akhbar Kosmo! baru-baru ini melaporkan seorang Pegawai Pengurusan Kanan Tabung Haji ditahan reman selama empat hari bermula Rabu lalu hingga hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut. 

Perintah reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap beliau mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Menurut sumber, beliau ditahan selepas dipercayai telah menerima rasuah berbentuk pengubahsuaian rumah berjumlah RM400,000 sebagai balasan telah memberi projek kerja kerja penjenamaan semula pejabat cawangan TH kepada sebuah syarikat yang melibatkan kos sebanyak RM15 juta. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×