Singa Utara kembali ‘mengaum’ - Utusan Malaysia

Singa Utara kembali ‘mengaum’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 22 Dis. – Selepas lebih sedekad melalui musim suram, gelanggang keramat Singa Utara yang sunyi sepi sebelum ini kembali bergegar dengan kehadiran puluhan ribu penyokong yang hadir bagi menyaksikan perlawanan persahabatan antara Perlis dan Kedah di Stadium Tuanku Syed Putra di sini, malam tadi.

Meskipun hanya perlawanan pemanas badan, para penyokong yang hadir ke stadium bagi memberikan sokongan itu, begitu teruja untuk menyaksikan wajah baharu Perlis yang diperkuatkan ramai pemain bintang bagi menghadapi saingan Liga Malaysia, musim depan.

Pujian harus diberikan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie yang begitu bersungguh-sungguh untuk mengembalikan zaman kegemilangan Singa Utara yang pernah menjadi antara kuasa bola sepak negara suatu ketika dahulu.

Setakat ini, antara nama besar yang sudah dipancing Perlis ialah Safee Sali; Badhri Radzi atau lebih dikenali sebagai Piya; Khyril Muhymeen; Azmi Muslim dan Amiridzwan Taj Tajudin selain sedang berusaha untuk mendapatkan bintang muda sedang meningkat naik, Akhyar Rashid.

Dalam perlawanan itu, Singa Utara yang sudah lama ‘tidur’ kembali bangkit dan bernafsu apabila berjaya menewaskan Kedah dengan jaringan 3-1 dalam perlawanan tersebut.

Kedah bagaimanapun berjaya mendahului tuan rumah menerusi jaringan Amirul Hisham Awang Kechik pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Separuh masa kedua pula menyaksikan Singa Utara mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila berjaya menghasilkan tiga jaringan masing-masing menerusi Hafizi Amirudin pada minit ke-70; Safee selang tujuh minit kemudian dan Nazrin Samsul Baharin, minit ke-90.

Sementara itu, Ahmad Amizal ketika ditemui selepas perlawanan tersebut berkata, selepas sekian lama menyepi, stadium keramat Singa Utara kembali dibanjiri penyokong dan suasana itu sesuatu yang di luar jangkaan.

“Alhamdulilah, malam ini saya rasa gembira dan bangga apabila stadium Kangar kembali dipenuhi penonton selepas kali terakhir pada tahun 2006. Nampaknya aura Singa Utara sudah kembali,” katanya.

Dalam pada itu, Safee berkata, kehadiran penyokong yang ramai meskipun dalam perlawanan persahabatan menyuntik semangatnya untuk sentiasa memberi persembahan terbaik .- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×