Mediu tawar 1,500 tempat - Utusan Malaysia

Mediu tawar 1,500 tempat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNIVERSITI swasta berteraskan Islam, Al-Madinah International University (Mediu), Desa Petaling, Kuala Lumpur kini menawarkan sebanyak 1,500 tempat bagi pengambilan peringkat sarjana muda dan praijazah bagi pengambilan sesi 2019.

Kesemua tempat tersebut terbuka kepada para pelajar lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mediu telah membuka pendaftaran secara online menerusi laman web universiti itu atau datang terus ke kampus pada setiap hari bekerja.

Pelajar boleh memilih untuk menuntut di kampus atau pembelajaran secara jarak jauh menerusi online.

Calon-calon boleh mendaftar awal dengan slip keputusan percubaan terlebih dahulu sebelum mengemukakan keputusan sebenar.

Ketua Pegawai Eksekutif Mediu, Prof. Emeritus Dr. Ismawi Zen berkata, pendaftaran awal dilakukan bagi memberi peluang kepada para pelajar membuat persediaan awal.

Jelasnya, persediaan awal sangat penting bagi memastikan mental pelajar berada dalam keadaan terbaik sebelum mereka menyambung pengajian ke menara gading.

“Ini merupakan kali pertama Mediu melakukan sesi pengambilan awal pelajar. Ia selepas Mediu berpindah ke kampus yang lebih besar dan selesa di Desa Petaling. Sebelum ini, kami beroperasi di Shah Alam, Selangor sejak tahun 2007.

“Kami berharap, Mediu menjadi wadah baharu kepada pembelajaran secara konvensional mahupun online buat para pelajar,” katanya ketika sesi temu bual bersama media di kampus utama Mediu di Desa Petaling.

Mediu menawarkan pengajian daripada enam fakulti iaitu Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Bahasa, Fakulti Kewangan dan Pengurusan Perniagaan, Fakulti Teknologi Maklumat, Fakulti Pendidikan serta Fakulti Kejuruteraan.

Universiti berkenaan turut mempunyai Pusat Persediaan Bahasa yang menawarkan kursus jangka pendek bahasa Arab, bahasa Inggeris serta Program Asasi Bahasa Arab dan Pengajian Islam.

Sehingga kini, Mediu mempunyai 4,318 pelajar dari lebih 100 negara termasuk Asia Barat dan Afrika.

Menurut Ismawi, Mediu sentiasa menjalankan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia khususnya dalam memelihara kebajikan para pelajar tempatan.

Katanya, pihaknya juga menawarkan kemudahan pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar peringkat ijazah.

“Menerusi usaha ini, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat dan pelajar tentang kepentingan ilmu dan keperluan belajar di menara gading.

“Ia bertepatan dengan kehendak kerajaan bagi memastikan semua masyarakat di negara ini mendapat ruang dan peluang sebaik mungkin untuk mendapat pendidikan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×