PORT DICKSON 21 Dis. – Panglima Tentera Darat (TD), Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi semalam melancarkan buku Dari Meja Panglima Tentera Darat (DMPTD) sempena 100 hari beliau memegang jawatan tersebut.
Buku tersebut mengandungi sebanyak 40 siri penulisan termasuk bertemakan Ikrar Kesatria, Wasiat Raja-Raja Melayu, Rukun Negara, Kepemimpinan, Ketuhanan, Latihan dan Peringatan Terhadap Gejala Negatif seperti merokok dan rasuah digarapkan dalam bentuk penulisan ringkas.
Menurut Ahmad Hasbullah, buku itu juga antara langkah dan sebagai medium untuk beliau berkomunikasi serta berhubung dengan seluruh warga TD dan dalam masa sama membuka ruang untuk anggota memberikan pandangan dan pendapat bagi meningkatkan lagi perkhidmatan pasukan tentera.
Beliau berkata, DMPTD juga merupakan hasil nukilan dalam memberi penekanan terhadap empat konsep utama iaitu Amal, Sistem Pemerintahan Rejimental, Adaptasi dan Siapsiaga (ASAS) iaitu direktif utama yang telah disampaikan dalam perintah ulungnya.
“Amal dan sistem pemerintahan menyasarkan setiap anggota mengamalkan dan mempraktikkan ilmu pengetahuan serta kepakaran demi menjamin kepatuhan kepada arahan dan disiplin.
“Manakala adaptasi pula dengan harapan setiap warga TD perlu bergerak seiring mengikut peredaran dan perubahan semasa sementara siapsiaga memberi penekanan kepada aspek latihan untuk mencapai piawaian ditetapkan pasukan,’’ katanya di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MPLDTD) di sini semalam.
Katanya, buku itu juga sebagai ingatan kepada dirinya serta anggota mengenai amanah serta peranan yang perlu dipikul dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.










