KUALA LUMPUR 21 Dis.- Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy mempersoalkan sikap pelbagai pihak termasuk Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk A. Kadir Jasin yang terus mengaitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy dalam insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.
Jelas Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP itu lagi, A. Kadir yang juga wartawan veteran bertindak seperti ‘kebudak-budakan’ dengan bersama menyertai UMNO, Bersatu, Pas dan PKR yang mendakwa Waytha Moorthy bertanggungjawab terhadap kekecohan yang berlaku di kuil tersebut.
“Saya tidak faham bagaimana Waytha Moorthy boleh bertanggungjawab terhadap rusuhan di kuil hindu Seafield di Subang Jaya, ketika dia sendiri tidak mempunyai apa-apa peranan pada asalnya,” katanya seperti dilaporkan portal Free Malaysia Today hari ini.
A. Kadir menerusi catatan di blognya hari ini berkata, Waytha perlu meletakkan jawatan daripada terus membebankan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad susulan kejadian insiden rusuhan di kuil itu.
Jelas A. Kadir lagi, beliau bersetuju dengan sentimen umum bahawa Waytha Moorthy telah hilang kelayakan dan kedudukan untuk terus menjadi menteri apatah lagi menteri yang menjaga perpaduan nasional.
Dalam pada itu, Ramasamy juga mempersoalkan kenyataan A. Kadir yang mendakwa Waytha Moorthy telah membebankan Dr. Mahathir.
“Sekiranya Dr. Mahathir berpuas hati dengan tugas Wathya Moorthy, kenapa A. Kadir berpandangan Waytha Moorthy adalah beban kepada Dr. Mahathir?.
“Kenapa semua serangan ini terhadap Wathya Moorthy? Adakah kerana dia ketua Hindraf atau pun kerana dia dilantik dan dengan mudah boleh dipecat ataupun kerana kerana dia tergolong dalam sebuah segmen kecil dalam masyarakat Malaysia?,” soalnya.
Sementara itu, Ramasamy menambah, beliau bersedia untuk bercakap dengan A. Kadir berhubung isu tersebut.
“Saya mungkin tidak bersetuju dengannya mengenai isu-isu tertentu, tetapi saya masih menghormati beliau atas pengalaman dan pandangannya berhubung pelbagai aspek dalam masyarakat kita,” katanya.











