PULAU PINANG 21 Dis. – Dalam sehari setelah menunggu lebih lima jam, seorang pemandu teksi di negeri ini hanya mampu mendapat satu trip perjalanan berbanding lima atau enam trip dalam tempoh sama sekitar enam tahun lalu.
Kesukaran mendapatkan pelanggan disebabkan persaingan dengan perkhidmatan e-hailing itu menyebabkan pendapatan pemandu teksi pada masa ini merosot hingga 90 peratus.
Bagi Daud Julahi, 55, yang sudah 15 tahun memandu teksi, pemandu teksi yang rata-rata sudah menjangkau usia emas sangat terkesan dengan keadaan sekarang kerana mereka kebanyakannya mengharapkan pendapatan sebagai pemandu teksi semata-mata.
“Dalam sehari nak dapatkan satu trip pun susah, kadang-kadang kita tunggu dari pagi hingga petang baru dapat satu trip.
“Kami akur dengan persaingan daripada perkhidmatan e-hailing tetapi kami mohon kerajaan membantu kami agar wujud persaingan yang lebih sihat,” katanya di sini hari ini.
Seorang lagi pemandu teksi C. Subramaniam, 71, berkata pemandu teksi juga perlu menyara keluarga walaupun pendapatan mereka tidak menentu pada masa ini.
“Kami hanya mahu kerajaan jangan biarkan perkhidmatan e-hailing melenyapkan perkhidmatan teksi.
“Semua mahu mencari wang tetapi perkhidmatan e-hailing semakin mengancam kami, mereka tidak dikenakan peraturan yang ketat seperti kami,” katanya.
Seorang lagi pemandu teksi K. Velaitham, 51, pula berkata pemandu e-hailing bebas mengambil dan membawa penumpang walaupun masih belum mendapat permit.
“Kami tidak mahu perkara ini berterusan, pemandu e-hailing tidak boleh sewenang-sewenangnya melanggar peraturan sedia ada, kami menuntut hak sama rata sebagai pemandu teksi daripada kerajaan,” katanya.










