KUALA LUMPUR 21 Dis. – Tiada angin, tiada ribut Liga Malaysia (Liga M) tiba-tiba dikejutkan dengan berita mereka bakal kehilangan RM420 juta selepas syarikat telekomunikasi gergasi, Telekom Malaysia Berhad (TM) mahu menarik diri sebagai penaja utama musim depan.
Berita itu bukan sahaja mengejutkan peminat bola sepak tempatan, malah pihak Liga Bola Sepak (MFL) juga masih cuba mendapatkan kepastian apa sebenarnya berlaku kerana penajaan yang baru dimeterai awal tahun ini sepatutnya hanya berakhir pada 2025.
Pada Februari lalu, TM dan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) (kini dikenali sebagai MFL) secara rasmi mengumumkan kolaborasinya bagi menaja Liga M bermula tahun ini sehingga tahun 2025.
Penajaan tersebut diwakili oleh unifi, jenama Konvergens utama di bawah TM sebagai penaja bagi Liga Super, Piala Malaysia dan penaja bersama bagi Piala FA dengan nilai tajaan berjumlah RM480 juta selama lapan tahun atau RM60 juta setahun.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi mengakui, beliau sendiri terkejut apabila mendengar ura-ura bahawa TM mahu menarik diri, namun menegaskan tidak tahu hujung pangkal perkara itu boleh timbul.
“Saya tak tahu (nak cakap lebih lanjut) tetapi memang saya juga ada dengar tentang perkara itu, cuma sebab kenapa ia berlaku dan apa puncanya saya memang tidak tahu.
“Apa yang boleh saya cakap, sebagai Ahli Lembaga Pengarah MFL, saya belum lagi dapat maklumat lanjut. Tunggu Mesyuarat Lembaga Pengarah nanti baru dapat tahu spekulasi ini,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Yusoff, jika spekulasi tersebut benar, beliau berharap MFL perlu segera memburu penaja baharu bagi memastikan saingan bola sepak tempatan musim depan tidak akan terjejas.
Sementara itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam gagal kerana beliau difahamkan masih bercuti di England.
Utusan Malaysia juga masih belum mendapat jawapan daripada pihak TM mengenai spekulasi yang timbul.










