Biar undang-undang hukum pelaku Muhammad Adib - Utusan Malaysia

Biar undang-undang hukum pelaku Muhammad Adib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sekali lagi mengingatkan rakyat Malaysia supaya bersabar dan membiarkan proses undang-undang menentukan hukuman sewajarnya kepada pelaku yang menyebabkan kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Isnin lalu.

Peringatan itu disampaikan menerusi Pegawai Khas (Ekonomi) kepada Timbalan Perdana Menteri, Ameer Ali Vali Mohamed yang hari ini menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham bagi pihak Wan Azizah di kediaman keluarga itu di Kampung Tebengau, Kuala Kedah di sini hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas menziarahi keluarga Allahyarham, Ameer berkata, timbalan perdana menteri juga menggesa rakyat Malaysia agar bersatu hati dan tidak terpengaruh dengan tindakan sesetengah pihak yang menjadi ‘batu api’ dalam kes tersebut sehingga menganggu emosi semua pihak.

“Timbalan Perdana Menteri mengingatkan mereka yang salah biarlah dihukum mengikut undang-undang sedia ada. Apa yang jadi ini bukan isu agama atau perkauman tetapi merupakan perbuatan jenayah dan orang yang lakukan jenayah ini akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Ameer berkata, Wan Azizah juga berharap agar keluarga Allahyarham Muhammad Adib terus tabah menghadapi ujian besar dari Allah.

Muhammad Adib yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 9.14 malam selepas dipercayai dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 November lepas.

Jenazah Muhammad Adib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah dekat sini kira-kira pukul 1.45 tengah hari, Selasa lalu. – Bernama
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×