SABAK BERNAM – Seorang lelaki dipercayai mengalami penyakit kemurungan yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu berjaya ditemui di Bandar Baru Malawati, Kuala Selangor di sini petang semalam.
Effendy Muhammad Razali, 35, ditemui kira-kira pukul 5 petang berhampiran sebuah kedai makan.
Adik mangsa, Ezrul Helmi Muhamad Razali, 33, berkata, abangnya ditemui selepas menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan melihat kelibat Effendi di kawasan tersebut kira-kira pukul 4 petang.
Katanya, dia bersama ibunya, Mislihah Hussien, 61, kemudiannya bergegas ke lokasi penemuan Effendy.
“Sewaktu ditemui, Effendy berada dalam keadaan selamat cuma keletihan dan keliru.
“Sepanjang lima hari dilaporkan hilang, Effendy didapati tidur di kerusi di taman, kedai dobi dan stesen bas serta mengambil upah mengelap cermin dan tayar kereta untuk mendapatkan wang membeli makanan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Jelas Ezrul, mereka telah memaklumkan kepada pihak polis berhubung penemuan tersebut.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Kosmo! yang menyiarkan berita kehilangan Effendy dan keprihatinan orang ramai sehingga abang berjaya ditemui semula,” katanya.
Kosmo! Online semalam melaporkan Ezrul merayu orang ramai membantu mencari abangnya dipercayai mengalami penyakit kemurungan yang dilaporkan hilang lima hari lalu.
Effendy dilaporkan hilang selepas menerima rawatan selepas mengadu sakit perut di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam kira-kira pukul 10.50 pagi Ahad lalu. – K! ONLINE










