KOTA KINABALU – Ahli politik merupakan sebahagian daripada kira-kira 80,000 pembayar cukai individu dan pemilik syarikat perniagaan yang dikenalpasti gagal membayar cukai selain tidak melaporkan mahupun mengembalikan borang cukai pendapatan, menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, LHDN telah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 79 Akta Cukai Pendapatan 1967 kepada individu terbabit supaya tampil melaporkan pendapatan mereka kepada agensi itu sebelum tindakan tegas diambil termasuk sekatan ke luar negara di bawah Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan 1967.
“LHDN juga telah mengenal pasti individu terbabit adalah mereka yang mempunyai pendapatan dan gaji tetapi tidak mengembalikan borang cukai pendapatan atau tidak melaporkan pendapatan sampingan lain seperti komisen; sewa; dan perniagaan secara dalam talian.
“Ini termasuk ahli politik, namun, kami tidak boleh mendedahkan identiti mereka, mereka antara 80,000 individu dikenal pasti gagal melaporkan pendapatan* dan LHDN telah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 79 supaya mereka tampil berbuat demikian,” katanya dalam sidang akhbar Program Khas Pengakuan Sukarela di sini hari ini.
Mengenai program itu, Sabin berkata, LHDN Sabah merekodkan seramai 148 pembayar cukai daripada pelbagai kategori di negeri ini telah membuat pengakuan sukarela sehingga semalam yang melibatkan cukai tambahan dan penalti ditaksir kira-kira RM8.1 juta. – Bernama










