KUALA LUMPUR 21 Dis. – AirAsia Group Bhd. mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Asia Aviation Capital Ltd. (AACL) telah melaksanakan perjanjian jual beli dengan CDB Aviation Lease Finance DAC bagi pemerolehan keseluruhan kepentingan ekuiti GY Aviation Lease Labuan 1 Ltd.
Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, AirAsia berkata, pengambilalihan tunai itu melibatkan pembelian 1,000 saham biasa dalam GY Aviation dengan harga AS$1,000 (RM4,186).
“Setelah pengambilalihan, GY Aviation akan menjadi anak syarikat milik penuh AACL dan dinamakan semula sebagai Rouge Aircraft 1 Ltd.,” katanya di sini hari ini.
CDB adalah sebuah syarikat pajakan pesawat yang diperbadankan di Ireland yang dimiliki oleh China Development Bank Financial Leasing Co., Ltd dan merupakan entiti yang disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Bloomberg melaporkan AirAsia Indonesia kini dalam perbincangan bagi menjalinkan kerjasama operasi dengan Garuda Indonesia Group.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Garuda, I Gusti Ngurah Askhara Danadiputra, pihaknya masih mempertimbangkan dengan lebih lanjut mengenai tawaran AirAsia Indonesia tersebut.
“Ya, mereka minta untuk menjalinkan kerjasama dengan kami, tetapi kami belum membuat sebarang keputusan,” katanya.










