Mayat wanita Vietnam ditemukan dalam keadaan bogel - Utusan Malaysia

Mayat wanita Vietnam ditemukan dalam keadaan bogel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM 21 Dis. – Seorang wanita warga Vietnam ditemukan mati di ruang tamu rumah sewanya di Taman Duku, Juru, di sini hari ini.

Mayat Thi Thuong Nguyen, 26, ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian oleh seorang rakannya  kira-kira pukul 1.30 petang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, rakan mangsa memaklumkan dia tidak dapat menghubungi mangsa sejak dua hari lalu.

“Rakan mangsa mendapati pintu rumah mangsa terbuka dan lampu menyala, tetapi dia tidak nampak mangsa di dalam rumah lalu menghubungi Balai Polis Bukit Tengah, Bukit Mertajam.

“Pihak polis tiba di rumah mangsa dan mangsa ditemukan terbaring di atas sofa dan terdapat kesan darah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai mati dalam tempoh kira-kira dua hari lalu berdasarkan keadaan mayatnya yang sudah berbau.

“Terdapat kesan percikan darah pada lantai berdekatan mayat dan pada dinding berdekatan sofa selain kesan luka pada tangan serta kecederaan dipercayai ditikam pada leher,” katanya .

Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata, pihaknya percaya mangsa dibunuh individu yang dikenalinya dan sedang mengenal pasti suspek.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×