KUALA LUMPUR 16 Dis. – Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad diingatkan tidak terlalu rakus berpolitik sehingga mengheret Nabi Muhammad SAW dalam menutup segala kelemahan diri dan terus menipu rakyat.

Sedarlah bahawa Nabi Muhammad SAW bertindak dan mengambil keputusan bersandarkan wahyu, sedangkan manusia bersandarkan kepada nafsu.
Sehubungan itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan Khalid supaya beradab dengan Rasulullah, selain menerima hakikat bahawa junjungan besar tersebut tidak pernah memungkiri janji
“Tergamak sungguh pimpinan Amanah, Khalid menisbah dan menyamakan pemungkiran janji manifesto PH (Pakatan Harapan) mereka dengan junjungan Nabi SAW.
“Nabi SAW sendiri dalam hadis yang sahih melarang kita daripada sewenang-wenangnya mengaitkan sesuatu tindakan dan ijtihad kita atas nama hukum Allah,” katanya status di Instagram beliau, hari ini.
Khalid dalam Konvensyen Amanah hari ini berkata, Nabi Muhammad SAW pernah tidak dapat menunaikan janji apatah lagi manusia biasa,
Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, kegagalan kerajaan menunaikan janji bukan disengajakan tetapi akibat kekangan semasa iaitu tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi. – UTUSAN ONLINE










