ISNIN lalu pasti ramai pendeposit Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) terkejut dengan pendedahan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berhubung defisit sebanyak RM4.1 bilion yang dihadapi oleh institusi umat Islam itu.
Laporan kewangan pada 2017 menunjukkan jumlah aset keseluruhan Tabung Haji adalah RM70.3 bilion manakala liabilitinya berjumlah RM74.4 bilion. Sekali pandang, jumlah itu sudah cukup menggambarkan ketidakmampuan Tabung Haji untuk membuat bayaran kepada pendeposit sekiranya berdepan situasi di luar kawalan bagi memenuhi tanggungjawabnya terhadap pemiutang.
Pembayaran hibah sejak 2014 juga telah melanggar Akta Tabung Haji 1995 apabila dua syarat tidak dipenuhi bagi membolehkan pembayaran dilakukan. Dua syarat tersebut adalah aset perlu melebihi liabiliti dan Tabung Haji mendapat keuntungan.
Bagaimanapun, punca krisis yang melanda Tabung Haji masih belum jelas. Ada yang berpendapat ia hanya mainan politik bagi mengalihkan isu-isu tertentu, kesan daripada kitaran ekonomi semasa serta kelemahan daripada pihak pengurusan terdahulu.
Apa pun yang berlaku, umat Islam di Malaysia mahukan jalan penyelesaian konkrit untuk memastikan segala pelaburan dijamin selamat selain mampu memulihkan kembali imej Tabung Haji yang tercalar.
Beberapa langkah penyelesaian yang akan diambil adalah seperti berikut:
Penubuhan SPV
SEBAHAGIAN besar masyarakat tidak memahami konsep syarikat tujuan khas (SPV). Mereka merasakan SPV yang ditubuhkan berfungsi sebagai alat kepada pihak-pihak tertentu untuk menjual aset-aset strategik Tabung Haji yang akhirnya akan merugikan institusi itu dan pendeposit.
SPV yang diluluskan Kabinet bertanggungjawab untuk memulihkan kedudukan kewangan Tabung Haji. SPV yang diwujudkan oleh pengurusan Tabung Haji akan memisahkan aset-aset yang tidak menguntungkan bernilai RM19.9 bilion untuk diuruskan bagi mendapat keuntungan dan memberi peluang kepada Tabung Haji menstabilkan imbangan tunai serta mempercepatkan pemulihan kewangan kumpulan.
Sebagai pertukaran kepada aset, SPV akan menerbitkan RM10 bilion sukuk tujuh tahun dan Saham Islamik Boleh Ditebus Boleh Ditukar (RCPS-i) berjumlah RM9.90 bilion. Sukuk tersebut tidak boleh diniagakan dan dilanggan sepenuhnya oleh Tabung Haji.
Pakar ekonomi berpendapat aset-aset Tabung Haji masih selamat dan tidak timbul isu terlepas ke tangan pihak lain. SPV itu sendiri bermaksud ia hanya boleh melakukan aktiviti-aktiviti memulihkan aset dan tidak boleh melakukan perkara lain. Dengan kepakaran pihak pengurusan SPV aset-aset berkenaan akan memberi pulangan yang baik kepada Tabung Haji apabila dipulangkan kelak.
Krisis dan kitaran ekonomi semasa serta kejatuhan harga komoditi turut menjadi punca kemerosotan nilai aset Tabung Haji. Kesan sama turut dirasai oleh syarikat milik kerajaan (GLC) apabila nilai pelaburan menyusut akibat kejatuhan harga saham.
Membiarkan Tabung Haji menyelesaikan masalah itu secara bersendirian tanpa melibatkan SPV adalah sedikit sukar kerana pemulihan ekonomi mengambil sedikit masa. Oleh itu, SPV adalah mekanisme terbaik untuk membantu Tabung Haji memperbaiki kedudukan dalam masa terdekat.
Dana deposit dihadkan
TABUNG Haji sedang mengkaji untuk meletakkan had dana setiap pendeposit pada masa depan. Langkah itu untuk mengehadkan deposit individu pada kadar sesuai sebagai sebahagian pelan penstrukturan semula perniagaan yang sedang menunggu kelulusan lembaga.
Pendeposit adalah dijamin oleh kerajaan iaitu kerajaan perlu membayar penuh sekiranya apa-apa berlaku terhadap dana tersebut, tidak seperti institusi perbankan lain yang hanya perlu membayar maksimum RM250,000 melalui Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) tanpa mengira berapa banyak wang yang mereka depositkan.
Langkah tersebut membantu mengurangkan liabiliti kerajaan dan risiko kepada pendeposit. Tanpa jumlah deposit yang banyak Tabung Haji berupaya meningkatkan jumlah asetnya tanpa dibebani peningkatan tanggungan.
Dikawal selia oleh BNM
LANGKAH meletakkan Tabung Haji di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) membantu organisasi itu menjadi lebih cekap dan berkesan. Tabung Haji sepatutnya diletakkan di bawah pemantauan kerajaan sejak awal penubuhannya bagi memastikan pengurusan organisasi itu sentiasa melaksanakan tadbir urus terbaik.
BNM boleh membuat teguran jika terdapat sebarang kepincangan atau salah laku dalam tadbir urus korporat agar tindakan penambahbaikan boleh dilakukan dengan segera. Pemantauan yang ketat berupaya mencegah Tabung Haji tersasar daripada matlamat asalnya iaitu untuk membantu menguruskan hal ehwal umat Islam mengerjakan haji.
Bagi pendeposit, mentaliti yang mahukan hibah tinggi setiap tahun harus diubah. Bagi Tabung Haji pula usahlah memaksa diri untuk memberi sekiranya tidak berkemampuan dan gagal memenuhi dua syarat yang ditetapkan.
Imej institusi yang selama ini dihormati dan dijadikan contoh terbaik oleh dunia luar daripada aspek pengurusan ibadah haji telah tercalar dek kerana isu-isu dalaman yang tidak sepatunya berlaku. Bagi pihak kerajaan, ‘cerita dalam kelambu’ haruslah disiasat terlebih dahulu dan diteliti supaya tidak menimbulkan spekulasi negatif.











