PARIS 12 Dis. – Polis Perancis melancarkan operasi secara besar-besaran bagi memburu seorang suspek selepas tiga orang maut manakala 13 lagi cedera termasuk lapan daripadanya parah dalam satu insiden tembakan rambang di bandar Strasbourg, semalam.
BBC melaporkan, suspek yang dikenal pasti sebagai seorang anggota keselamatan melarikan diri selepas berbalas tembakan dengan anggota tentera dan polis, selain dia dipercayai cedera.
Insiden tersebut berlaku di sebuah pasar Krismas terkenal berhampiran dataran Place Kleber.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Christophe Castaner berkata, kawalan keselamatan di kawasan sempadan dan semua pasar Krismas di negara ini dipertingkat susulan insiden itu.
Katanya, Perancis kini meningkatkan amaran keselamatan ke peringkat ‘serangan kecemasan’ dengan kira-kira 350 anggota keselamatan dikerah untuk memburu suspek.
Pendakwa raya kawalan keganasan Perancis kini membuka kertas siasatan berhubung insiden berkenaan ketika lima individu ditahan bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, motif serangan itu masih belum dikenal pasti.
Dalam pada itu, enam daripada 12 mangsa yang cedera dilaporkan dalam keadaan parah manakala selebihnya mengalami kecederaan ringan.
Menurut polis, suspek berusia 29 tahun itu dilahirkan di Strasbourg dan pihak berkuasa Perancis maklum mengenai dirinya yang merupakan ancaman keganasan.
Stesen televisyen BFM TV melaporkan, suspek yang merupakan seorang lelaki itu sudah melarikan diri dari rumahnya di daerah Neudorf pada pagi semalam selepas turut dikaitkan dengan kes rompakan.
Pasukan polis juga menemukan bom tangan ketika operasi pemburuan suspek dilakukan.
Selain itu, penduduk di Neudorf dinasihatkan supaya duduk di dalam rumah bagi memudahkan polis melakukan operasi pencarian.
Bangunan Parlimen Eropah yang terletak berhampiran lokasi kejadian turut ditutup buat sementara waktu.
Presiden negara ini, Emmanuel Macron menerusi Twitter beliau menulis ‘solidariti seluruh negara kini bersama Strasbourg, mangsa dan keluarga mereka’.
Kejadian itu berlaku pada pukul 8 malam waktu tempatan dan menurut saksi, Pater Fritz, dia mendengar bunyi tembakan serta menemukan seorang mangsa yang cedera ditembak terbaring di atas jambatan.
“Saya cuba membantunya, namun lelaki itu meninggal dunia. Ambulans tidak dapat memasuki kawasan tersebut dan saya cuba menyelamatkan lelaki berkenaan selama 45 minit, namun gagal,” katanya.
Seorang saksi lain yang dikenali sebagai Fatih memaklumkan bahawa kekecohan tercetus selepas insiden tembakan tersebut berlaku.
Jelasnya, orang ramai yang panik lari bertempiaran bagi menyelamatkan diri masing-ma-sing.
Seorang wartawan tempatan pula memberitahu, tembakan dilepaskan banyak kali secara bertubi-tubi dan berlangsung selama 10 minit.
Sementara itu, Datuk Bandar Strasbourg, Roland Ries hari ini memaklumkan bahawa, pasar Krismas tersebut akan terus ditutup sehingga keadaan kembali reda.
Katanya, bendera negara akan dikibarkan separuh tiang sebagai tanda penghormatan atas insiden yang berlaku.











