KUALA LUMPUR: Ketua Eksekutif KRU Entertainment, Datuk Norman Abdul Halim menyarankan kepada kerajaan agar melupuskan sepenuhnya cukai hiburan di negara ini.
Katanya, tindakan tersebut akan memberi kesan positif terhadap pembangunan industri hiburan dan ekonomi negara secara keseluruhannya.
“Perkara ini sudah diperjuangkan sejak dulu. Sebaiknya kalau boleh tak ada duit hiburan. Dan pemansuhan ini, sebolehnya dilakukan juga oleh kerajaan negeri.
“Penerbit atau pelabur menanggung terlalu banyak potongan cukai sehingga membebankan. Kita boleh contohi negeri Sabah, yang mengecualikan potongan cukai (hiburan).
“Tindakan ini secara tak langsung akan menjana ekonomi yang lebih baik dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Norman mengulas tentang saranan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin agar cukai hiburan sebanyak 25 peratus dikurangkan.
Dalam pada itu, penerbit dan pemilik syarikat produksi Pencil Pictures & Records Sdn. Bhd. menyambut baik saranan Zahidi berkenaan pengurangan cukai itu.
Katanya, cukai yang terlalu tinggi hanya akan menakut-nakutkan penerbit untuk menghasilkan filem dan drama berkualiti.
“Malaysia kenakan cukai hiburan yang terlalu tinggi. Lebih tinggi berbanding negara lain.
“Dahulu, potongan (cukai) 25 peratus itu dipulangkan semula kepada penerbit. Kaedah itu membantu penerbit untuk menghasilkan lebih lebih banyak filem yang berkualiti dan menarik.
“Sekarang tak ada. Ditambah lagi dengan potongan cukai lain yang juga terlalu tinggi. Jadi saya amat menyokong dan mengharapkan kerajaan mengkaji semula pemotongan cukai ini untuk membantu penerbit filem menghasilkan lebih banyak karya berkualiti di masa akan datang,” ujarnya. – UTUSAN










