Fahami cerapan anak bulan elak kekeliruan tarikh raya - Utusan Malaysia

Fahami cerapan anak bulan elak kekeliruan tarikh raya

KAEDAH rukyah dan hisab berdasarkan kepada kriteria Imkanur Rukyah. GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBIASAAN kalendar dinding atau kalendar kuda dilihat dan dirujuk sejak sekian lama yang menyebabkan masyarakat terbiasa dan percaya tarikh bulan Islam seperti 1 Ramadan (puasa) atau 1 Syawal (Aidilfitri) dan sebagainya.

Ada beranggapan, tarikh puasa dan raya yang ditetapkan pada kalendar kuda untuk tahun ke hadapan adalah tepat. Itu yang timbul kekeliruan apabila sesetengahnya tidak dapat menerima apabila Syawal disambut awal sehari, tidak mengikut seperti kalendar sedia ada.

Ulas Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Azri Bhari, masyarakat mungkin tidak tahu atau terlupa bahawa Malaysia mengamalkan cara penentuan awal Ramadan, Syawal dan Zulhijjah (kalendar Hijrah) dengan rukyah dan hisab berdasarkan kepada kriteria Imkanur Rukyah.

“Islam menyatakan secara jelas dalam al-Quran dan hadis perlu berpandukan kepada ‘hilal’ iaitu anak bulan sebagai panduan dan bimbingan masyarakat Islam dalam melakukan ibadah dan urusan harian.

“Penentuan anak bulan sangat penting untuk menentukan tarikh permulaan berpuasa di bulan Ramadan, sambutan hari raya Aidilfitri atau Aidiladha, wukuf di padang Arafah, tempoh iddah seorang wanita, tempoh haul zakat supaya boleh dikeluarkan dan sebagainya.

“Firman Allah SWT bermaksud: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: (peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji. (Surah al-Baqarah: 189),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Namun, katanya, terdapat perbezaan amalan dan kaedah dalam penentuan anak bulan tersebut kerana kepelbagaian dalam memahami dan mentafsir maksud ayat al-Quran dan hadis yang berkaitan.

TIGA PERBEZAAN PENENTUAN ANAK BULAN
Tiga amalan yang berbeza dalam menentukan awal bulan adalah ‘rukyah’ iaitu mencerap anak bulan semata-mata, ‘hisab falak’ iaitu kiraan hari semata-mata serta ‘rukyah dan hisab’ mengikut kriteria imkanur rukyah iaitu menggunakan hisab dalam menentukan kenampakan anak bulan.

“Malaysia salah sebuah negara yang mengamalkan praktis penentuan awal bulan melalui kaedah rukyah dan hisab berdasarkan kepada kriteria imkanur rukyah. Justifikasi pemilihan kaedah tersebut adalah sebagai penyelesaian jalan tengah yang dilihat lebih hampir kepada kehendak syarak.

“Kaedah rukyah dan hisab berdasarkan kriteria imkanur rukyah (kebolehnampakan) ialah penentuan masuknya awal bulan apabila kedudukan hilal (anak bulan) ketika matahari terbenam pada akhir bulan ‘qamariah’ berada dalam keadaan yang memungkinkan kenampakannya.

“Kriteria imkanur rukyah adalah sebelum matahari terbenam, ijtimak telah berlaku pada tanggal 29 hijrah dan melalui perkiraan kewujudan hilal adalah positif serta dapat memenuhi salah satu dari dua syarat iaitu ketika matahari terbenam, ketinggian hilal di atas ufuk tidak kurang dari dua darjah dan jarak lengkung hilal-matahari tidak kurang dari tiga darjah atau ketika hilal terbenam, umur hilal tidak kurang dari lapan jam selepas ijtimak berlaku,” katanya.

Malaysia tambahnya, mengambil kira syarat kenampakan yang baharu bermula sejak Muharram 1443H iaitu anak bulan dianggap boleh kelihatan sekiranya berada pada kedudukan tiga darjah tinggi daripada ufuk dan jarak lengkung antara bulan dan matahari ialah 6.4 darjah ketika matahari terbenam hari ke-29 dalam bulan hijrah.

MENCERAP SETIAP BULAN
PENSYARAH Kanan Program Astronomi Islam Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya, Dr. Raihana Abdul Wahab menjelaskan, mencerap anak bulan bukan hanya pada bulan tertentu sahaja sebaliknya cerapan dilakukan setiap bulan untuk menentukan bulan hijrah yang baharu.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Falak Negeri Perak berkata, isu Syawal baru-baru ini jika mengikut hisab kriteria tidak dipenuhi namun hasil cerapan daripada 29 lokasi, telah kelihatan anak bulan di satu lokasi di Labuan maka daripada situlah diisytiharkan raya (atau bulan baharu) kerana hilal sudah kelihatan walaupun kriteria tidak dipenuhi.

“Asas perjalanan kalendar hijrah berasaskan sistem qomari tulen iaitu sistem yang berpandukan kepada tempoh bulan mengelilingi bumi iaitu sebanyak 29.5 hari. Sebab itu, kita akan berpuasa selama 29 atau 30 hari pada Ramadan. Cerapan dibuat setiap bulan pada 29 atau 30 hari bulan mengikut tarikh ijtimak berlaku.

“Bagaimanapun, pada 29 Ramadan lalu, kalau ikut secara hisab, kriteria tidak dipenuhi yang mana bulan ketinggian cukup iaitu kira-kira lebih 5 darjah tetapi elongasi tidak mencukupi kurang daripada 6.4 darjah. Namun apabila satu lokasi telah kelihatan hilal, maka ia dikira bulan baharu,” katanya.

Jelas beliau, sekiranya syarat kriteria dipenuhi ketika hari cerapan atau hilal kelihatan pada 29 hari bulan hijrah, wmaka keesokan harinya dikira 1 hari bulan hijrah atau bulan baharu. Jika tidak memenuhi syarat, maka keesokan hari dikira 30 hari bulan hijrah.

PENENTU AIDILADHA
Tambah beliau, proses melihat anak bulan untuk Zulhijjah adalah sama seperti penentuan Syawal dan bulan-bulan lain. Biarpun bulan yang berubah hanya pada Syawal namun bulan lain tidak akan berganjak atau berubah.

“Bulan Islam ini auto-correct. Seperti dinyatakan, kita akan menyambut bulan Islam sama ada 29 atau 30 hari bulan mengikut kitaran bulan mengelilingi bumi, relatif pada matahari 29.5 hari. Jadi, ia mesti 29 atau 30 hari sahaja.

“Bezanya, bulan Zulhijjah ini kurang ‘kalut’ sedikit berbanding Syawal kerana bukan hari esoknya raya selepas cerapan dibuat. Kita masih ada sembilan hari bersedia untuk menuju ke hari raya haji yang disambut setiap 10 Zulhijjah selepas melihat anak bulan pada 29 Zulkaedah yang akan menentukan awal bulan, 1 Zulhijjah,” katanya.

Kata beliau, Malaysia mengamalkan penentuan anak bulan melalui rukyah dan hisab ini adalah sangat bertepatan kerana data-data hisab memandu untuk rukyah dan cerapan bagi melihat anak bulan.

“Tidak boleh melihat anak bulan tanpa ada data-data hisab dan rukyah untuk mengesahkan hisab yang dibuat. Aktiviti cerapan anak bulan juga dipengerusikan oleh Mufti setiap negeri.

“Manakala pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri tertakluk kepada pengisytiharan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hasil daripada cerapan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×