Saya agak terganggu dengan perbuatan syirik - Shadan Hashim - Utusan Malaysia

Saya agak terganggu dengan perbuatan syirik – Shadan Hashim

Filem Jerangkung Dalam Almari bakal menghantui penonton di pawagam seluruh negara 4 Ogos ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah terkenal, Shadan Hashim tampil mengetengahkan isu yang masih menjadi amalan terkutuk dalam segelintir masyarakat menerusi filemnya, Jerangkung Dalam Almari.

Menurut Shadan hal tersebut perlu diberi kesedaran kepada umum dan pada masa penghasilan filem itu memberi penghormatan buat pembikin-pembikin filem seram yang digemarinya.

“Melihat kepada keadaan semasa, adakalanya saya agak terganggu apabila menyedari perbuatan syirik masih lagi dilakukan segelintir masyarakat dan kerana itu saya harus mengutarakan isu ini,” katanya.

Jelasnya lagi gara-gara terkesan akibat pandemik dan menjalani penggambaran selama 26 hari itu, dia perlu menampilkan sesuatu yang luar biasa kerana hantu jerangkung itu sendiri jarang sekali diangkat di layar lebar berbanding kisah hantu lain seperti pontianak, orang minyak dan hantu raya.

“Bila mendapat peluang ini saya bertanya pada diri, bagaimana untuk menghasilkan sebuah filem seram yang baik, tanpa adegan klise seperti wanita terapung, melekat di dinding atau menjerit apabila ayat-ayat Al-Quran dibaca, seperti kelaziman filem seram yang lain?

“Jadi ia mencabar kreativiti saya untuk menghasilkan adegan seram yang lebih mencemaskan, menunjukkan cara yang lebih kreatif untuk mengatasi ancaman jin dan yang paling mencabar ialah untuk memunculkan makhluk jerangkung itu sendiri,” ujarnya.

Dalam penghasilan filem seumpama itu Shadan turut mencari identiti filem seram yang dekat dengan masyarakat dan percaya penonton akan terhibur dengan jalan cerita yang menarik serta elemen- elemen kejutan yang terdapat dalam filem Jerangkung Dalam Almari.

“Pelakon-pelakon hebat seperti Datuk Adiputra, Sophia Albarakbah, Hasnul Rahmat, Wan Hanafi Su, Anne Abdullah, Zaidi Omar dan Amerul Effendi memberikan lakonan berkualiti dan faktor ini juga pasti akan menarik penonton ke pawagam,” ujarnya.

Filem terbitan dari syarikat produksi Akid Productions Sdn. Bhd dan penerbit Raja Azmi itu, menceritakan tentang tiga orang adik-beradik yang membiarkan syaitan bermaharajalela di dalam dada mereka sehingga berdendam dan prasangka terhadap diri masing-masing.

Walaupun naskhah tersebut adalah sebuah filem genre seram tetapi mesej kekeluargaan ialah tunjang kepada jalan cerita filem itu.

Filem Jerangkung Dalam Almari bakal menghantui penonton di pawagam seluruh negara mulai 4 OGOS 2022.

Sebagai informasi, Shadan pernah menghasilkan sebuah filem seram iaitu Volkswagen Kuning, selain bergelar sutradara menerusi filem Haru Biru dan Cinta 200 Ela.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×