Seorang maut, 6 cedera kereta terbabas masuk cerun - Utusan Malaysia

Seorang maut, 6 cedera kereta terbabas masuk cerun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Seorang warga emas maut manakala enam lagi mengalami kecederaan selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam cerun setinggi lima meter di Kilometer 51, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini kira-kira pukul 7.15 pagi ini.

Mangsa yang maut ialah penumpang hadapan kereta jenis Perodua Myvi, Nik Soh Raja Bedullah, 68, yang beralamat di Kampung Budi, Jalan Tawang, Bachok.

Mereka yang cedera ialah pemandu kereta itu, Nik Muhammad Khairil Azmi Mohd. Ashari, 26; penumpang belakang, Ramlah Ab. Razak, 56; Nik Mohamad Eppi Nik Soh, 24; Nik Nur Shahira Mohd. Sapiri, 13; Nik Atikah Nik Aziz, 21, dan Muhammad Irfan Rayyan Nik Mohamad Eppi, 2 bulan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, kejadian kemalangan berlaku kira-kira pukul 7.15 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta yang dalam perjalanan dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Krai itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke dalam cerun di sebelah kiri jalan.

“Akibat kejadian itu, kenderaan dinaiki mangsa remuk dan seorang telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

KERETA Perodua Myvi yang dinaiki tujuh orang mangsa remuk selepas terbabas ke dalam cerun di Kilomet
KERETA Perodua Myvi yang dinaiki tujuh orang mangsa remuk selepas terbabas ke dalam cerun di Kilometer 51, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, Kelantan, hari ini. – UTUSAN ONLINE

“Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan, tetapi berdasarkan siasatan awal mendapati kenderaan itu terbabas sendiri ke dalam cerun,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Taufik berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera menerima rawatan di Klinik Kesihatan Chiku 3.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor berkata, 11 anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.37 pagi.

Katanya, pihaknya berjaya mengeluarkan seorang mangsa lelaki dewasa di bahagian tempat duduk hadapan sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini