TOKYO – Pemenang Piala Dunia dari Sepanyol, Fernando Torres mengakui bahawa fizikalnya tidak mampu untuk memenuhi keperluan bola sepak semasa selepas dia mengumumkan persaraannya.
Bekas pemain berusia 35 tahun itu pernah menjadi salah seorang peledak berbisa di dunia tetapi tidak menolak kemungkinan untuk menyertai bidang kejurulatihan.
Bekas bintang Atletico Madrid, Liverpool dan Chelsea itu menamatkan kariernya bersama kelab Jepun, Sagan Tosu selepas menyertai J-League, tahun lalu.
“Saya mempunyai permintaan tinggi terhadap diri sendiri dan mahu beraksi cemerlang seperti saya mahukan.
“Selepas mendengar kata hati, saya tidak mampu beraksi pada tahap terbaik seperti sebelum ini dan saya mahu menamatkan karier dalam keadaan yang baik.
“Saya sentiasa berikan yang terbaik terutama dalam tempoh dua bulan ini,” kata Torres yang akan berdepan pasukan rakan senegaranya, Andres Iniesta, Vissel Kobe pada 23 Ogos ini.
Dia meninggalkan Atletico pada musim panas lalu untuk beraksi di Jepun selepas menyertai semula pasukan pertamanya pada 2015 namun berdepan masalah prestasi serta kecederaan.
Torres yang dikenali sebagai ‘El Nino’ semasa kemuncak prestasinya beraksi sebanyak 334 perlawanan dan meledak 111 gol bersama Atletico.-AFP











