SEREMBAN – Balu dan anak-anak seorang pekerja Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) yang maut selepas terjatuh ke dalam loji rawatan air pada Jumaat lalu, mendapat perhatian segera Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Norfaidah Mustafakama, 30, yang sedang mengandung empat bulan dan anak kembarnya, Muhammad Haziq dan Muhammad Hazim Mahazir Hanif, 5, hari ini menerima faedah Orang Tanggungan di bawah Skim Bencana Kerja.
Pengarah Perkeso negeri, M. Nallusamy berkata, balu kepada Allahyarham Mahazir Hanif Idrus itu layak menerima RM2,133 sebulan seumur hidup, manakala anak-anaknya termasuk dalam kandungan menerima RM1,422 sebulan sehingga anak terakhir berusia 21 tahun atau tamat pengajian peringkat ijazah sarjana muda.
“Selain itu, Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 juga telah dibayar kepada keluarga itu melalui akaun bank semalam,” katanya dalam sidang akhbar majlis penyerahan faedah tersebut di sini hari ini.
Allahyarham yang merupakan juruelektrik Sains maut selepas terjatuh ke dalam tangki mendapan di Loji Rawatan Air Sungai Linggi, Rantau dekat sini semasa memeriksa lampu limpah pada pukul 2.15 petang, Jumaat lalu.
Nallusamy berkata, Skuad Perkeso Seremban mendapat maklumat kematian mangsa melalui laman sosial Facebook pada hari kejadian dan bertindak proaktif dengan menjalankan siasatan, sekali gus mendapati keluarga mangsa layak menerima faedah itu.
Turut menerima faedah Orang Tanggungan di bawah skim sama ialah waris kepada seorang juruteknik, Muhammad Ammin Md. Jalil, 23, yang maut dalam kemalangan raya di Port Dickson semasa dalam perjalanan ke tempat kerja di Kuala Sungai baru, Melaka pada 15 Jun lalu.
Bapa Allahyarham, Md. Jalil Sabtu, 54, dan ibunya, Siti Alawiah Abd. Rahman menerima RM1,236 setiap bulan seumur hidup, manakala dua adiknya yang berusia 17 dan 18 tahun menerima RM927 sehingga adik terakhir mencapai umur 21 tahun.
Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 turut dibayar kepada waris Allahyarham.
Sementara itu, waris kepada pencarum Perkeso, Allahyarham Mohamad Farouk Johan yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di sini kira-kira 12 tahun lalu menerima tunggakan Pencen Penakat berjumlah RM104,241.67 serta faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM1,500.
Faedah pencen berjumlah RM632.50 sebulan diterima balu Allahyarham, Ida Ellyza Mohd. Yusof seumur hidup, manakala anaknya menerima jumlah sama sehingga berusia 21 tahun.
Wanita itu yang telah berkahwin semula pada 2013, hanya mengetahui faedah yang layak diterimanya itu selepas semakan dibuat pada 11 Jun lalu. – UTUSAN ONLINE











