LONDON -Penampilan dalam acara regu di Kelab Seluruh England memberi bayangan Andy Murray bakal membuat penampilan semula dalam Wimbledon.
Bekas pemain nombor satu itu, kembali beraksi selepas pembedahan pinggul dengan melakar rentak kemenangan pada Kejohanan ATP Fever-Tree, awal pagi tadi.
Juara tiga kali Grand Slam bergandingan dengan pemain Sepanyol, Feliciano Lopez mencatat, 7-6 (7/5) 6-3, dalam kemenangan pertama menewaskan pilihan utama dari Colombia, Juan Sebastian Cabal dan Robert Farah pada perlawanan kompetitif dalam tempoh lima bulan berehat.
Beraksi di gelanggang utama sambil disaksikan isterinya Kim, Murray menunjukkan sedikit gugup ketika aksi pemanas badan selepas meninggalkan gelanggang sejak Januari.
Selepas perlawanan, Murray berkata, dia mungkin beraksi dalam acara beregu di Wimbledon bersama pemain Perancis, Pierre-Hugues Herbert.
“Saya jangkakan akan menjadi pemain paling teruk dalam gelanggang itu dan berasa sangat tidak selesa ketika beraksi seperti anda tahu selepas melihat permainan pada set pertama.
“Tetapi dalam set kedua, saya mula bermain semakin baik dan sangat selesa walaupun selepas kecederaan di bahagian pinggul yang menjejaskan kebanyakan aksi tahun lalu.
“Saya berasa optimis dengan masa depan,”katanya yang dia mungkin mencipta sejarah baharu kerana tiada pemain perseorangan yang beraksi semula selepas menjalani pembedahan seperti itu sebelum ini.
Minggu hadapan Murray akan beraksi bersama wakil Brazil, Marcelo Melo di Eastbourne, sebelum mengalih tumpuan kepada Wimbledon.
Tahun lalu, Murray terpaksa menarik diri daripada grand slam di gelanggang rumput itu kerana kecederaan pinggul yang hampir mengakhiri kariernya. – AFP











