[VIDEO] ‘Mak cik hendak pergi rumah orang tua-tua’ - Utusan Malaysia

[VIDEO] ‘Mak cik hendak pergi rumah orang tua-tua’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR – Raut wajahnya kelihatan sayu. Dalam keadaan terbaring, Morat Ismail, 60, yang lumpuh berusaha bangun untuk berbual dengan wartawan yang mengunjungi rumahnya di Kampung Baru Batu 18, Titi Tinggi di sini hari ini.

“Beginilah keadaan mak cik nak (wartawan) tidak boleh bergerak hanya bergantung kepada anak bongsu yang menguruskan bermula dari saat mak cik disahkan lumpuh sejak setahun lalu.

“Mak cik hendak pergi rumah orang tua-tua (pusat penjagaan warga emas) kerana sudah tidak sanggup lagi menyusahkan anak yang juga hidup dalam keadaan serba kekurangan,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi, Teh Chai Ann.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kunjungan itu, Chai Ann turut meluangkan masa berbual, bertanya khabar dan menyampaikan bantuan kepada warga emas itu.

Sepanjang Morat terlantar, anak bongsu daripada 10 beradik itu, Siti Fatimah Abdul Wahab, 25, yang mengambil tangggungjawab menguruskan warga emas itu manakala adik beradik lain yang juga hidup dalam keadaan serba kekurangan turut sama membantu.

Meskipun anak-anak masih boleh menjaga ibu mereka, namun Morat masih mahu insan-insan kesayangannya memenuhi permintaan menghantar dia di mana-mana rumah warga emas di negeri ini.

“Mak cik hendak pergi dengan rela hati dan berharap anak-anak mak cik dapat menghantar mak cik ke rumah warga emas. Mak cik sedih melihat anak bongsu mak cik bersusaha payah menukar lampin, mandikan mak cik dan menguruskan keperluan lain. Kadang-kadang (anak) dia pun tidak sihat,” katanya.

Sementara itu, Chai Ann yang kelihatan sebak mendengar permintaan Morat secara spontan membantu mengangkat warga emas itu ke atas kerusi roda dan membawanya keluar mengambil angin di luar rumah.

Chai Ann juga sempat menitipkan kata-kata semangat kepada Morat dan berharap warga emas itu sentiasa kuat menempuh kehidupan.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memberi perhatian terhadap warga emas itu dengan sering kali memberi bantuan khususnya bekalan makanan dan lampin pakai buang.

“Warga emas itu juga ada menerima bantuan bulanan daripada baitulmal dan kita sedang memohon agar Morat menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula selepas ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini