PULAU PINANG – Akibat melanggar lampu isyarat merah, seorang penunggang motosikal maut selepas dilanggar sebuah kereta di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi itu, mangsa, Baba Jan Md. Joonoos, 65, disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, ketika kejadian sebuah kereta Toyota Camry yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 60 tahun dari arah Pengkalan Weld sedang menghala ke arah Jambatan Pulau Pinang.
“Apabila sampai di simpang lampu isyarat di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pada masa itu lampu isyarat menunjukan warna hijau dan pemandu kereta tersebut meneruskan perjalanan.
“Tiba-tiba sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki keluar dari arah Lebuh Cecil dan tidak berhenti di lampu isyarat merah lalu menyebabakn perlanggaran berlaku dengan kereta Toyota Camry berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, tempat kejadian mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan semakan mengesahkan penungang motosikal berkenaan tidak berhenti di lampu isyarat merah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE











